Teks Oleh Hazeman Mohd Huzir
Gambar Mazlan Photography
KUALA LUMPUR, 25 MAC 2011: Demi memberi penjelasan kepada penonton mengenai hak dan tanggungjawab mereka selaku pengguna, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menerbitkan sebuah drama bersiri yang berjudul Langsai.
Drama yang menggunakan pendekatan baru dalam dalam usaha menyebarkan pelbagai isu serta permasalahan kepenggunaan ini bakal disiarkan bermula 12 April 2011 setiap Selasa pada jam 7 malam.
Ianya telah pun dilancarkan di Auditorium Tun Dr Siti Hasmah pada 22 Mac 2011 yang lalu. Majlis pelancarannya telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau yakin yang drama bersiri ini dapat diterima masyarakat dan dengan ini beliau juga berharap tahap kesedaran penonton mengenai hak kepenggunaan akan meningkat dengan bantuan drama 'Langsai' ini.
"Ramai diantara para pengguna sekarang yang tertipu oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab kerana kurangnya pengetahuan tentang undang-undang dan hak yang diwujudkan untuk mereka.
"Ini kerana tahap kesedaran pengguna masih lagi di tahap sederhana, maka kempen-kempen kesedaran pengguna diteruskan pihak kementerian melalui beberapa cara.
"Salah satu cara bagi menyebarkan maklumat tentang permasalahan kepenggunaan adalah terbitan drama bersiri 'Langsai'. Drama bersiri ini penuh dengan unsur-unsur jenaka, ringan dan mudah dari segi penerimaannya," kata Dato' Sri Ismail Sabri pada sidang media.
Menurut Ismail Sabri Yaakob lagi, ini adalah pertama kali inisiatif begini diadakan oleh pihak kementerian untuk mendidik masyarakat ramai melalui kaedah penerbitan drama bersiri yang bersifat infohiburan.
"Kes-kes penipuan terhadap pengguna semakin hari semakin bertambah. Setakat Januari 2011, terdapat 41 peratus peningkatan kes di tribunal tuntutan pengguna.
Kes tertinggi adalah penipuan yang berbentuk peraduan 'Gores dan Menang' iaitu sebanyak 445 kes dan menyumbang 14.8 peratus pada keseluruhan statistik.
"Harapan saya drama ini akan dapat membuka mata masyarakat tentang masalah-masalah yang berlaku ini. Saya juga yakin yang drama ini akan diterima baik oleh masyarakat oleh memandangkan drama ini berunsur ringan dan mudah untuk diterima selain informatif pada masa yang sama," katanya lagi kepada murai.com.my.
Drama bersiri 'Langsai' terbitan 3Line Media Sdn Bhd yang mendapat tajaan sepenuhnya dari Bank Rakyat dengan Kerjasama KPDNKK ini memaparkan tentang beberapa kisah benar yang melibatkan kes-kes tribunal tuntutan pengguna.
Drama sebanyak 13 episod yang bakal ditayangkan dalam durasi 30 minit ini adalah lakonan semula berdasarkan situasi sahih yang diceritakan semula dengan pendekatan yang ringan dibawah arahan pengarahnya, Shahrul Ezad yang baru-baru ini memenangi Pengarah Terbaik Anugerah Skrin TV3.
Setiap episod dilakonkan oleh barisan pelakon yang berbeza dengan tajuk episod yang berlainan. Antara pelakon-pelakon yang terlibat ialah Ijoy Azhari, Azza Elite, Kenchana Dewi, Syed Aiman, Wan Sharmila, Zed Zaidi, Zarina Zainuddin dan ramai lagi.





.jpg)
.jpg)



