Teks: zyzamani
Foto: Mazlan Yunos Photography
KUALA LUMPUR 7 FEB 2011: Selepas 16 tahun memegang gelaran sebagai seorang isteri, penghibur terkenal Francissa Peter akhirnya mengakui kini sudah hidup bersendirian .Tidak menyalahkan takdir Ilahi, namun bagi penyanyi yang dibesarkan di Ipoh, Perak ini, semua yang berlaku ini ada hikmahnya.
"Saya dan bekas suami telah pun berpisah sejak tahun 2009 kerana dah tak ada jodoh. Tiada apa permasalahan yang berlaku di antara kami. Tapi, mungkin sudah suratanhidup kami begini.
"Saya dan bekas suami tak bermusuh dan masih lagi saling menghubungi antara satu sama lain. Malah saya juga masih lagi mengekalkan hubungan yang baik dengan mak mertua saya," katanya ketika ditemui selepas konsert sulungnya iaitu Konsert Keungggulan 33 Tahun Francissa Peter yang telah diadakan pada Sabtu yang lalu, di Istana Budaya.
Sebelum itu, Francissa atau lebih mesra dengan panggilan Fran itu yang popular dengan lagu Sekadar Di Pinggiran telah membuat pengakuan berpisah dengan bekas suaminya di hadapan para peminat.
Bukan berniat mahu menyembunyikan status dirinya yang selama ini diintai namun jelas penyanyi berusia 50 tahun ini, dia menantikan detik yang sesuai untuk menghebahkan perkara tersebut.
"Saya bukan mahu menyorok atau apa, tunggu masa yang sesuai. Selama ini saya lebih selesa bercerita tentang kerjaya dan pada hari ini memandangkan peminat dan media semua ada, jadi saya rasa tak salah untuk berkongsi cerita duka yang pernah singgah dalam hidup saya," katanya yang bersyukur masih ditemani keluarga dan rakan terdekat.
Berkongsi cerita mengenai kegembiraannya apabila berjaya mencapai impian untuk mengadakan konsert sekian lamanya terlaksana akhirnya, kata Fran, semua itu berjaya direalisasikan dengan sokongan peminat yang sedia ada.
Malah seboleh-bolehnya dia mahu mendendangkan kesemua lagu nyanyiannya yang menjadi kegemaran ramai di konsert tersebut, semata-mata mahu peminat berpuas hati dengan konsert sulungnya itu.
"Saya amat gembira dengan konsert ini dan saya berharap peminat turut sama merasai apa yang saya rasa. Kalau nak dicerita mengenai kepuasan, pastinya setiap penghibur tak akan puas hati apabila tampil menghiburkan peminat mereka. Saya rasa masih ada lagi ruang yang boleh diperbaiki di persembahan akan datang," jelasnya yang turut sama mengundang rakan duetnya Royston Sta Maria serta Imran Ajmain bagi menghangatkan lagi kemeriahan konsert tersebut.
Ditanya mengenai pembabitannya lebih 30 tahun dalam industri muzik ini tutur Fran, dia bersyukur kerana masih diterima ramai namun masih lagi mengharapkan masyarakat tempatan terutamanya penganjur besar memberi ruang kepada anak seni untuk terus berkarya.
"Saya bersyukur kerana dapat bertahan sebagai penyanyi bukan berbangsa Melayu dan masih diterima ramai. Saya dah menyanyi di sini serta di luar negara dan pelbagai pengalaman suka dan duka saya perolehi.
"Cuma apabila saya kembali di sini apa yang saya lihat masyarakat kita, terumatanya penganjur kurang mempercayai bakat seni tanah air dan lebih suka memberi peluang kepada orang luar. Bukan tak boleh tapi sekurang-kurangnya pandang dan berilah sokongan kepada artis tempatan untuk mengadakan persembahan dan hargailah bakat mereka,"katanya.
Konsert yang berlangsung selama dua hari bermula 5 haribulan Februari lalu, menyaksikan Fran mendendangkan lebih 30 lagu sambil diiringi oleh pengarah muzik terkenal Datuk Ramli MS. Konsert berdurasi lebih dua jam itu menyaksikan Fran menghiburkan peminat menerusi lagu-lagu popularnya antaranya Kerna Terpaksa, Kau Lilin Cintaku, Ku Ke Udara Lagi dan Aku Hanya Pendatang.





.jpg)
.jpg)



