Judul: Aliff
Artis: Aliff Aziz
Genre: Pop R&B
Label: SonyBMG Music Entertainment Sdn Bhd
Puas rakan-rakan di dalam dan di luar pejabat bertanya saya. Aliff Aziz ni adik kepada aktor Aaron Aziz ke? Saya bilang tidak. Tapi mereka tidak percaya. Lalu saya terpaksa meminta pengesahan daripada pihak SonyBMG.
Lalu saya ditertawakan beberapa kakitangan di syarikat rakaman itu. "Aliff Aziz adik kepada Aaron Aziz?," soal mereka. Bukan sekadar bau-bau bacang, kedua-duanya memang langsung tidak ada pertalian darah bersama.
Okey, saya harap dengan pengesahan yang dikeluarkan sendiri kakitangan di SonyBMG, tidak akan ada lagi yang mengaitkan Aliff Aziz dengan Aaron Aziz selepas ini. Hanya kebetulan saja mereka berdua ini berasal dari Singapura dan berkongsi nama bapa yang sama.
Apapun, Aliff Aziz yang baru saja meniti usia 16 tahun sememangnya datang dengan pakej yang lengkap. Bukan sekadar memiliki cocok wajah yang 'handsome' yang boleh memberikan igauan kepada gadis remaja belasan tahun tetapi juga mempunyai personaliti yang kemas dan menarik bersama vokal yang cukup baik.
Kalau melihat semua ciri menarik yang ada pada penyanyi baru muda ini, syarikat rakaman seperti SonyBMG haruslah berusaha menampilkan segala yang terbaik untuk ayam tambatan mereka ini termasuklah menghasilkan sebuah produksi album yang harus menepati segala apa yang ada pada Aliff.
Tidak perlulah terlalu 'ambituous' untuk melahirkan seorang lagi Anuar Zain atau pun Hazami dalam versi penyanyi cilik kerana apa yang diinginkan peminat belasan tahun di luar sana adalah Aliff bersama lagu dan nyanyian yang sesuai dengan kehendak mereka.
Sebab itulah saya terpaksa menyifatkan beberapa lagu seperti Nyala, Cinta Arjuna, Harus Ku Teruskan dan Ini Satu Kisah sebagai lagu yang gagal kerana ia memaparkan melodi serta lirik yang terlalu berat dan dewasa.
Lagu Ini Satu Kisah yang dihasilkan Neves bagi saya lebih bercelaru lagi kerana ia langsung lari daripada konsep dan momentum keseluruhan produksi album ini. Bukan waktunya lagi untuk Aliff membawakan lagu yang memiliki unsur etnik seperti ini.
Rasanya, saya lebih enjoy mendengar lagu yang lebih moderate seperti Sayang-Sayang ciptaan Panji. Kalau tidak silap dia ini vokalis daripada kumpulan Syuga. Sepatutnya lagu macam inilah yang harus diberikan kepada Aliff.
Begitu juga dengan lagu Azlan Abu Hassan, Ku Sendiri. Ia mempunyai melodi yang cukup menarik dan menyenangkan untuk didengar dan menyerlahkan sifat keanak-anakan Aliff.
Namun, saya lebih terpesona dengan lagu Dia ciptaan Omar K & Azlan Abu Hassan kerana melodinya cukup membuai perasaan serta mempunyai unsur dunia fantasi dan pari-pari dan liriknya yang ringkas tetapi bersahaja itu cukup kena dengan lagunya.
Kalau mahu lagu yang lebih rock, anda harus mendengar lagu Bila Dengan Kamu ciptaan Imiz. Ia mempunyai pengaruh lagu Peterpan khusus pada drumworknya dan vokal Aliff yang pada awalnya lebih banyak dipengaruhi dengan karektor R&B nyata kedengran tidak janggal membawakan lagu sebegini.
Aliff turut membawakan lagu Extreme yang digemarinya, More Than Words berserta Stop! Yang boleh tahan catchy.





.jpg)
.jpg)



