Kes Dadah: Benjy Tidak Dipaksa

berita | Tempatan

Kes Dadah: Benjy Tidak Dipaksa

addthis kongsi icon

KUALA LUMPUR, 25 OGOS 2010 : Timbalan Pendakwa Raya Nurmadiana Mamat memberitahu Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam, tiada sebarang paksaan, dorongan, janji atau kekerasan dikenakan terhadap pelakon Benjy semasa dia ditangkap dalam serbuan kes dadah di tempat letak kereta di rumahnya di Menara Duta 2, Jalan Segambut, 11 Mac lalu.

"Jawapan Benjy yang mengakui ada terhadap soalan, sama ada dia menyimpan barangan salah di kediamannya perlu diterima oleh mahkamah kerana ia dibuat secara sukarela," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi hujah pada prosiding perbicaraan dalam perbicaraan yang dijalankan bagi menentukan sama ada kata amaran yang diberikan oleh polis sepanjang melakukan siasatan terhadap Benjy itu difahami serta jawapan yang menyatakan ada menyimpan barang salah dibuat pelakon itu secara sukarela.

Benjy dituduh memiliki 0.24 gram syabu di rumah bernombor A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut pada jam 4 petang, 11 Mac lalu. Anak seniwati Azean Iradawaty itu turut dituduh memiliki 0.14 gram syabu di alamat C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Off Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru, di sini, pada jam 3 petang hari yang sama.

Nurmadiana berkata, dalam keterangan saksi pertama, Asisten Superintendan Mohd Ashril Md Johar, 42, memang memberikan kata amaran yang dan dijelaskan ketika menahan dan menangkap tertuduh.

"Keterangan itu disokong saksi kedua iaitu Inspektor Roslan Tambi, 46, yang menyatakan beliau mendengar Mohd Ashril membacakan kata amaran terhadap pelakon itu.

"Ini jelas menunjukkan keterangan yang diberikan oleh kedua-dua saksi ini saling menyokong antara satu sama lain," katanya. Selain itu, Nurmadiana turut mempersoalkan hujah pihak pembelaan berkenaan keterangan yang diberikan Benjy yang tidak memahami kata-kata amaran yang diberikan Mohd Ashril kerana berada dalam keadaan takut dan keliru.

"Dia berkali-kali memohon gari dibuka kerana tidak mahu anaknya lihat, ini jelas menunjukkan dia bukannya takut pada situasi tapi takut anaknya lihat dia digari," katanya. Jawapan membabitkan saksi pembelaan kedua iaitu bekas pembantu peribadi tertuduh, Affi Hamid, 24, yang sering menjawab, tidak pasti berulang kali, beliau menjelaskan bahawa ia tidak membantu perbicaraan kerana pada masa sama dia turut mengalami gastrik.

Terdahulu, peguam bela pelakon terbabit, Amer Hamzah menghujahkan bahawa jawapan ada itu tidak sepatutnya diterima kerana tidak diberikan secara sukarela kerana keadaan fikiran Benjy yang takut dan keliru semasa kata-kata amaran dibacakan kepadanya.

Reaksi Benjy yang dikatakan menganggukkan kepala juga tidak bermaksud dia sedar, kerana apa yang penting adalah keadaan fikiran tertuduh dan bukannya pemahaman pegawai polis yang membacakan kata-kata amaran itu.

Amer Hamzah seterusnya menghujahkan bahawa kata-kata amaran itu tidak diterangkan dengan sempurna oleh pegawai polis yang turut mempertikaikan kredibiliti Mohd Ashril kerana memberikan tiga keterangan yang berbeza di mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Majistret Haffiza Sauni bersambung pada 3, 4 dan 8 November depan. Pada prosiding semalam, Benjy memakai kemeja hijau dan berseluar jeans, mengucapkan selamat hari raya kepada keluarga termasuk ibunya, Seniwati Azean Irdawaty.

Komen-Komen | 0

Nama:


Komen Anda:


Aksara yang tinggal: