Mampukah Ungu saingi Double Trouble 2010?
Jangan Tak Lihat
KUALA LUMPUR, 6 APRIL 2010: Mampukah Ungu menyaingi konsert Double Trouble 2010 yang bakal diterajui band muzik rock gergasi tempatan kita iaitu Wings dan Search?
Inilah persoalan yang menjadi tanda-tanya sebaik saja band muzik dari Indonesia ini mengumumkan tentang perancangan mereka untuk menjayakan konsert solo pertama mereka, Ungu Mega Konsert Malaysia 2010 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Mei 2010.
Pada hari yang sama itulah nanti akan berlakunya pertembungan dengan penganjuran Konsert Double Trouble 2010 yang akan berlangsung di Arena Tertutup, Bukit Kiara Equestrian, Kuala Lumpur.
Ia memang telah sekian lama dinantikan die hard fans Wings dan Search kerana mereka pernah digandingkan bersama buat julung kalinya dalam konsert Double Trouble pada tahun 1993.
Kini selepas 17 tahun, sekali lagi Wings dan Search akan digandingkan dalam konsert Double Trouble 2010. Pasti ia akan menjadi satu gabungan paling menarik di antara kedua-dua band muzik hebat ini.
Apa kata pula kata Ungu tentang pertembungan konsert mereka dengan Double Trouble 2010? Adakah mereka berani menghadapi Wings dan Search?
Vokalisnya, Pasha berkata, pada awalnya, dia sendiri memang tidak tahu apa-apa dengan pertembungan tarikh itu.
"Saya hanya diberitahu kemudian dan memang saya agak terkejut juga apabila mendapat mengenainya. Tapi, tengang soal berani atau tidak, saya kira soalan itu harus dilanjutkan kepada pihak penganjur iaitu Selebes Production.
"Pasti mereka punya sebab untuk memilih tarikh itu. Mungkin juga mereka yakin dengan Ungu dan percaya Ungu mampu menjayakan konsert Ungu Mega Konsert Malaysia 2010 sepertimana yang diharapkan," katanya yang ditemui di Hard Rock Cafe, malam tadi sewaktu menghadiri majlis makan yang dianjurkan pihak penganjur sendiri.
Apapun kata Pasha, dia dan anggota band muzik Ungu yang lain sememangnya mengakui sangat teruja untuk menjayakan konsert solo pertama mereka di negara ini.
"Selepas muncul dengan 10 album, memang ini telah sekian lama menjadi impian kami semua dan kami yakin mampu melakukannya kerana kalau dinilai dari segi material lagu pun, ia sudah sangat mencukupi untuk kami bikin konsert.
"Apa yang pasti, konsert solo Ungu ini nanti akan menampilkan kelainan yang cukup ketara iaitu dari segi pentasnya, sistem tata cahaya, jalan cerita, kostum termasuklah repertoire muziknya nanti.
"Yang mana ada sebahagian lagu yang ditampilkan nanti akan dihasilkan dalam bentuk akustik penuh dan ada juga yang akan dibuat penyusunan muzik baru semula.
"Cuma cabarannya bagi kita ialah bagaimana untuk memenuhkan stadium dengan kehadiran 25,000 penonton sebagaimana yang disasarkan pihak penganjur. Insya Allah, berserah saja dan mungkin kami akan berhasil melakukannya," katanya.

.jpg)
.jpg)

.jpg)
.jpg)
.jpg)