Trek Selebriti: Aril Pengganti Jimmy
Jangan Tak Lihat
Teks oleh Razif Rosdi
Foto oleh Baung.com
Pakaian oleh Fussion Collection Bukit Bintang
Dandanan oleh Fadilah (017-3557896)
KUALA LUMPUR, 16 MAC 2010: Desas-desas mengatakan Khairil Azam Pilus atau Aril sebagai hos terbaru Trek Selebriti (TS) menggantikan tempat Jimmy Shanley benar belaka selepas namanya diumumkan pada sidang media memperkenalkan hos musim baru TS, petang semalam.
Pun begitu, spekulasi tentang Aril kemungkinan akan digandingkan bersama Farish Aziz dalam program santai hiburan ini sekali tidak benar kerana Farish difahamkan akan terlibat dengan program yang berkaitan World Cup.
Ketika dihubungi petang tadi, Aril menjelaskan tugasan barunya itu hanya diterajui dirinya seorang diri saja. Malah, dia sudah pun memulakan tugasannya itu pada rakaman episod pertama yang sudah dibuat pada konsert tirai AF8.
"Episod pertama Trek Selebriti akan disiarkan pada minggu ini yang mana Aril telah pun membuat rakaman tersebut pada konsert tirai AF8, Sabtu lalu. Untuk pengetahuan semua, Aril akan buat 30 episod baru TS," ujarnya.
Pun begitu, disebabkan TS sudah begitu begitu sinonim dengan Jimmy, Aril dari awal-awal lagi sudah pun memikirkan tentang isu yang kemungkinan dia akan dibandingkan dengan Jimmy nanti selepas ketiadaan pengacara asal itu yang sudah pun memulakan tugasannya sebagai hos AF8.
"Aril percaya, perkara banding-membandingkan ini pasti akan wujud. Namun, sebelum terima tawaran ini, Aril dah fikir masak-masak. Aril tak boleh lari dengan pandangan ini. Bagi Aril, ia sedikit sebanyak mengajar Aril supaya tidak terikut-ikut dengan stail Jimmy.
"Walaupun Aril pernah menjadikan Jimmy sebagai seorang ikon dalam bidang pengacaraan, namun Aril tak rasa Aril akan terikut dengan gaya Jimmy nanti. Pun begitu, Aril lebih kagum dan hormat dengan gaya dan persona Pak Nil mengacara," katanya.
Dalam pada itu, Aril menafikan penerimaan tawaran sebagai hos adalah titik tolak pada musnahnya impian Aril untuk bergelar penyanyi.
"AESB yang telah menyakinkan Aril untuk terima tawaran ini. Begitu juga dengan team TS yang banyak bagi sokongan. Di sinilah timbul keyakinan Aril untuk terus bergelar hos TS. Abang saya iaitu Izwan Pilus dan keluarga pun banyak bagi sokongan.
"Aril tak pernah hapuskan cita-cita nak terus kekal sebagai penyanyi. Sekarang ni pun, Aril dalam proses merakamkan single terbaru. Nak kata Aril terima banyak tawaran berlakon pun tidak. Aril baru saja berlakon 2 drama iaitu Kau Dan Aku dan Shuffle Milikku.
"Sesungguhnya, tiada sebab untuk Aril merajuk. Setakat ini, Alhamdulillah apa yang Aril cadangkan pada pengurusan semuanya berjalan lancar.
"Aril pun tidak mahu dibayangi abang Izwan Pilus walaupun Aril tahu perjalanan karier kami agak sama. Bagi Aril, itu semua berlaku secara kebetulan saja. Kalau sama sekalipun dengan abang Izwan tapi karaktor kami tetap berbeza," jelas Aril.
Mengakhiri perbualan, Aril mengucapkan jutaan terima kasih kepada peminatnya yang banyak menyokong dirinya untuk tugasan baru ini. Selain itu, Aril berharap penonton setia TS terus kekal dan melekat menonton program popular ini.
Dengan berani, Aril membuka ruang kepada sesiapa saja untuk menghantarkan emel kepada produksi TS sekiranya ada perkara yang tidak puas terhadap dirinya memandangkan anak muda ini masih lagi baru belajar.

.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)

.jpg)
.jpg)
.jpg)