Ammar: Saya Kesal, Mengaku Bersalah
Jangan Tak Lihat
Teks oleh Thani Hasbullah
Foto oleh Mazlan Photography
KUALA LUMPUR, 12 MAC 2010 : "Ya, saya mengaku meletakkan perkataan bunuh dan menghina segelintir wartawan hiburan dengan kata-kata kesat di laman Facebook baru-baru ini.
"Selepas kenyataan tersebut dibuat saya berasa bersalah dan kesal. Saya akui kesilapan itu dan menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua wartawan yang tersinggung," kata Ammar Alfian Aziz,22.
Model dan pelakon Tari Tirana ini berkata demikian sewaktu mengeluarkan kenyataan permohonan maaf secara terbuka kepada pihak wartawan hiburan dalam di majlis sidang media khas anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) di Bilik Kelantan, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), lewat petang tadi.
Permohonan maaf secara terbuka itu dibuat berikutan tindakannya yang menghina wartawan hiburan secara melampau dalam akaunnya di laman Facebook sedikit hari dulu.
Ekoran daripada itu, ia telah mencetuskan kontroversi dan ramai pihak wartawan hiburan yang menggesa supaya Ammar Alfian diboikot dalam industri hiburan.
Apa yang menarik, majlis yang diadakan ala-ala seperti persidangan mahkamah ini yang sebahagian besarnya dihadiri daripada kalangan wartawan hiburan berpengaruh daripada pihak media cetak, elektronik serta online. Terlebih dulu, fakta tentang kes ini telah dibacakan oleh Setiausaha Kehormat Seniman, Yusof Kelana.
Semua pihak turut diperdengarkan penjelasan daripada Ammar tentang insiden sebenar yang berlaku sewaktu dia menghadiri majlis pra -tonton Lu Pikirlah Sendiri De Movie di Cineleisure, Februari lalu hingga menimbulkan cerita yang kononnya dia bertengkar dengan kekasihnya Puteri Sarah Liyana kerana cemburu melihat dia bergambar mesra dengan Nabil.
Sebaik saja Ammar memberikan penjelasannya, penolong pengarang hiburan Utusan Malaysia, Muzlina Abu Bakar telah menggesa pihak Seniman supaya memberi peluang pada wartawan yang turut berada di tempat kejadian supaya menceritakan keadaan sebenar.
Ammar yang hadir tanpa Sarah kelihatan cukup tenang menjawab soalan yang bertalu-talu. Malah, biarpun diasak dengan bermacam-macam pertanyaan, namun Ammar cuba menjawab dengan cara yang merendah diri.
Mungkin dia benar-benar sudah menyesal dan seperti dapat membaca apa yang bermain di minda pihak wartawan, Ammar berkata:
"Jangan pula selepas ini ada yang tanya mengenai keikhlasan permohonan saya ini. Hanya Allah saja yang tahu. Untuk mengukuhkan lagi maaf saya ini, saya berjanji dgn Seniman dan Wartawan bahawa saya tidak akan mengulangi perbuatan itu.
"Kalau boleh saya ingin selesaikan perkara ini secepat mungkin. Seperti semua orang tahu saya masih baru dan mentah dalam dunia hiburan ini dan tidak pandai mengawal situasi. Saya harap saya dapat belajar daripada peristiwa yang berlaku.
"Saya masih waras dan berfikiran logik. Mustahil saya akan membunuh orang dan terpaksa berhadapan dengan undang-undang," katanya.
Kontroversi bermula apabila berlaku suatu insiden diantara pihak Ammar dengan jurugambar Utusan Malaysia, Rashid Mahfof atau lebih dikenali dengan Pak Rashid.
Menurut Ammar, Pak Rashid yang mahu mengaturkan sesi fotografi pada waktu itu mengkasarinya degan cara menolak. Katanya, selepas insiden tersebut beliau berjumpa dengan Sarah berbincang tentang perkara tersebut.
"Selepas berjumpa Sarah pada waktu itu, timbul pula cerita kononnya saya cemburu melihat Sarah bergambar dengan Nabil. Sebenarnya saya langsung tidak cemburu atau sakit hati dengannya. Saya menghormati kerjanya. Malah dia yang hadir terlebih dahulu dalam bidang ini. Selepas majlis itu saya ada berjumpa dengan Nabil dan bagitahu dia tentang perkara ini.
"Saya tahu saya tidak patut hadir pada majlis pratonton itu kerana saya tidak terlibat dengan filem berkenaan. Atas permintaan beberapa pihak saya hadir bersama-sama Sarah, ibu dan adiknya.
"Apa yang terjadi pada saya dengan tempoh hari membuatkan saya beremosi dan bercelaru. Saya sepatutnya tidak ambil kisah dengan gaya Pak Rashid bekerja. Mungkin badannya kecil, membuatkan dia menggunakan tenaga yang besar untuk menolak saya.
"Memang saya ingin minta maaf kepada wartawan sebelum ini, tetapi saya perlukan masa untuk benar-benar bersedia, lagipun baru-baru ini saya sibuk dengan penggambaran. Selepas turut menerima kaunseling daripada pihak Seniman akhirnya saya dapat berjumpa dengan pihak media. Kini saya berasa lega selepas meluahkan ucapan maaf ini,” kata Ammar.
Turut hadir pada majlis itu, Presiden Seniman, Harun Salim Bachik, Pengerusi Biro Seniman Muda, Zed Zaidi, Naib Pengerusi Biro Harta Intelek, Jehan Miskin, Penasihat Undang-Undang Seniman, Zahrin Ishak, pelakon dan pengacara Wardina Safiyyah.

.jpg)
.jpg)

.jpg)
.jpg)
.jpg)