Teks oleh Thani Hasbullah
Foto oleh Mazlan Photography
KUALA LUMPUR, 15 FEBRUARI 2010: Sudah sekian, Caca memasang cita-cita dan impian untuk menjadi pelawak terkenal. Namun, selepas menyertai Raja Lawak musim keempat (RL4) barulah dia mengetahui bahawa kemampuannya untuk menghiburkan orang ramai tidaklah sehebat mana.
Malah, Caca mengakui bahawa membuatkan penonton ketawa di Gelanggang RL4 pada setiap minggu, bukanlah semudah yang disangka.
Anak kelahiran Kedah yang turut menjadi peserta keenam tersingkir ini, turut mengakui kandungan lawak yang ditampilkan setiap minggu sangat lemah sehingga memaksanya kerap berada di kedudukan ketiga terbawah.
"Saya tidak mahu orang mengundi saya kerana simpati ataupun sebab lain. Biarlah bakat yang diukur. Biarpun saya disingkirkan pada malam ini, saya tetap berpuas hati dan menerimanya dengan hati terbuka. Lagi pun saya sudah menjangkakan akan tersingkir pada malam ini kerana saingan saya memang hebat-hebat belaka.
"Bukannya senang untuk buat orang ketawa. Walaupun kandungan yang bagus sekali pun, ia tidak menjanjikan apa-apa sekiranya kita tidak menyampaikannya dengan baik. Itulah yang berlaku kepada saya sejak awal saingan.
"Bagi saya benda ini adalah bakat semula jadi dan ia berlaku secara spontan. Saya percaya mimik muka dan gaya saya tidak mampu berbuat demikian. Mungkin saya lebih berbakat dalam aspek lakonan seperti mana yang diberitahu juri.
"Selepas membuat persembahan setiap minggu, saya sering menghubungi isteri untuk mendapatkan ulasannya. Saya tahu dia akan memberi komen tanpa berselindung. Itu semua untuk mengetahui adakah persembahan memuaskan ataupun sebaliknya.
"Dialah yang banyak memberi dorongan kepada saya selama ini. Dia jugalah yang memberi cadangan supaya menyertai program ini," katanya.
Caca atau nama sebenarnya Abdul Halim Bin Abd Malek, 31, tersingkir pada minggu keenam (tema Retro Hitam Putih) saingan RL4 setelah hanya memungut undian 3.5%, dibawah Alex yang memungut 17.4%. Peserta yang mendapat undian tertinggi ialah Idlan dengan markah 31.5% diikuti Mamu 24.5%. Manakala Kecik dengan 22.5%.
Caca yang bekerja sebagai juruteknik di salah sebuah kilang kereta di Kedah tekad mengambil cuti tanpa gaji untuk menyertai RL4. Sebelum ini juga, beliau turut berkhidmat secara sambilan sebagai pengacara majlis dan DJ pada majlis-majlis kenduri kahwin sekitar tempatnya.
Caca mengakui selama 7 minggu bersama RL4, beliau banyak memperoleh pengalaman berharga terutama ketika berhadapan dengan penonton.
"Buat masa sekarang ini saya tak sabar pulang ke rumah berjumpa dengan isteri dan anak-anak. Tengoklah nanti kalau ada peluang dalam industri hiburan ini saya akan berpindah ke Kuala Lumpur.Walaupun perjalanan bersama RL4 terhenti disini, tetapi cita-cita saya tidak akan terkubur begitu saja.
"Kerja-kerja sampingan sebagai DJ kenduri tu saya akan tetap teruskan seperti biasa. Sekiranya ada peluang menjadi pelakon mahupun pengacara program memang saya tidak akan tolak," tambah Caca.





.jpg)
.jpg)



