AJL24: Faizal Terpaksa Telan `Pain Killer`
Jangan Tak Lihat
Teks oleh Thani Hasbullah
Foto oleh Mazlan Photography
KUALA LUMPUR, 12 JANUARI 2010: Penganjuran Anugerah Juara Lagu kali ke-24 (AJL24), malam kelmarin dianggap paling hebat dalam bentuk produksi dan persaingan lagu. Ia terbitan krew muda di TV3, Gbam, dan dilaporkan menelan kos RM2 juta.
Pada malam itu, hadirin bukan saja disajikan dengan reka pentas yang gah tetapi juga pengggunaan props yang pelbagai selain beberapa aksi stunts menggunakan wire serta permainan api. Selain itu, kesan visual grafik dan keindahan alam semula jadi yang terpampang pada LCD gergasi di pentas juga mendapat pujian.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rangkaian TV Media Prima, Datuk Seri Farid Ridzuan, berpuas hati dengan konsep yang diketengahkan mahupun mutu persembahan artis.
"Saya berpuas hati dengan penganjuran kali ini dan bagi saya ia AJL paling hebat pernah dipertontonkan. Sudah pasti setiap ringgit yang dilaburkan dalam penganjuran kali ini berbaloi kepada kami (TV3).
"Walaupun berlaku siaran tergendala ketika kemunculan artis jemputan, Jay Jay selama 30 saat kerana masalah teknikal hingga memaksa persembahan tersebut dilakukan semula, ia tidak mengganggu keseluruhan acara," katanya ketika ditemubual pada sidang media selepas acara selesai.
Sebelum ini keputusan AJL24 menyaksikan lagu Pergi karya Pete Teo dan Amran Omar nyanyian Aizat, 20, dinobatkan sebagai juara. Tempat kedua dimenangi Dan Sebenarnya dendangan Yuna dan ketiga Bencinta daripada Faizal Tahir .
Menerusi lagu Kau Aku, Aizat juga meraih Persembahan Terbaik manakala Vokal Terbaik jatuh kepada Hanifah Md Hanafiah, 22, atau pun Black menerusi lagu Aku Rindu Sayang Kamu.
Komen-komen pemenang...
Aizat
"Kemenangan melalui kedua-dua anugerah ini begitu bermakna dalam perjalanan karier saya. Ia adalah hadiah kepada seluruh ahli keluarga dan semua peminat yang setia menyokong saya. Saya tidak pernah berada dalam situasi sekarang (menjadi juara) ataupun tidak pernah merangkul hadiah sebesar ini. Malah dalam AF dulu pun saya tidak pernah menjadi juara. Saya percaya kekuatan lagu Pergi terletak kepada susunan lagu yang istimewa, lirik yang baik. Malah kumpulan okestra pimpinan Ramli MS banyak membantu menyempurnakan persembahan saya"
Yuna
"Ini adalah kemunculan pertama saya dalam AJL. Kalau sebelum ini saya hanya sebagai penonton biasa yang hanya menonton depan TV dengan kawan-kawan tapi hari ini saya datang sebagai peserta. Ia sangat-sangat berbeza. Diberi peluang untuk beraksi pun sudah cukup, apatah lagi berjaya berada di tempat kedua. Ini satu bonus yang besar untuk saya. Kemenang ini satu titik permulaan bagi kerjaya seni saya dan selepas ini saya akan berusaha keras lagi. Ada juga tawaran untuk bernaung dibawah label muzik besar, tapi ia masih dalam peringkat perbincangan."
Faizal Tahir
"Ramai yang masih tidak tahu, saya ambil keputusan untuk membuat persembahan dalam AJL24 kira-kira 2 minggu lalu. Kaki saya ini masih lagi sakit memaksa saya menelan ubat penahan sakit (pain killer) sebelum membuat persembahan tadi. Doktor juga menasihati saya agar berehat sehingga bulan Februari nanti. Saya tahu kesihatan saya telah menjejaskan corak persembahan saya. Bagaimanapun saya terkejut kerana masih menang tempat ketiga. Kalaulah saya sudah sihat betul, tentu saya akan dapat berikan yang lebih lagi malam ini."
Black
"Dari awal lagi saya memang cukup teruja untuk bertanding dalam AJL. Dulu Mentor saya, Mas Idayu sudah pun merasai debaran AJL dan sekarang saya pula. Bagi saya gelanggang AJL yang sangat besar bagi saya. Terima kasih di atas segala sokongan peminat dan juri. Saya makin bersemangat untuk menjadi artis sekarang."

.jpg)
.jpg)

.jpg)
.jpg)
.jpg)