Noryn Duet Dengan Christian Bautista
Jangan Tak Lihat
Teks oleh Thani Hasbullah
KUALA LUMPUR, 12 JANUARI 2010: Satu perkembangan menarik apabila penyanyi jazz dan soul Malaysia, Noryn Aziz, telah menjayakan rakaman duet dengan bintang kacak dari Filipina, Christian Bautista serta penyanyi jelita, Kyla. Ia bagi projek khas bergelar Ikon & Friends. Ia antara lain bertujuan merapatkan kerjasama antara artis di rantau Asean.
Jurucakap Wake The Baby, Liza Ilias, berkata, projek rakaman dalam Bahasa Malaysia ini akan cuba menembusi pasaran Malaysia, Indonesia, Filipina dan Singapura.
"Buat permulaan, ia dijayakan dalam bahasa Malaysia dahulu dan seterusnya dalam bahasa negara-negara Asean yang lain pula," katanya kepada murai.com.my.
Bagi peminat tempatan Noryn diketahui sebelum ini telah melahirkan 2 buah album solo iaitu Realiti O Fantasi dan Alam Maya. Beliau juga telah memenangi beberapa anugerah utama di pertandingan nyanyian World Championship of Performing Arts 2008 (WCOPA) di AS selain baru menjayakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC.
Bagi Bautista pula, beliau adalah seorang model dan pelakon yang sangat popular di Filipina dan Indonesia. Jejaka kacak yang berusia 28 tahun ini telah melahirkan beberapa album solo seperti Christian Bautista, Completely dan Just A Love Song… Live.
Christian turut popular di kalangan penggemar soap opera serta drama TV dan beliau telah membintangi program–program TV seperti Star in A Million dan ASAP. Beliau juga terlibat dalam lakonan dan pementasan teater dan membintangi filem Mano PO 5: Gua Ai Di.
Bautista dan Noryn telah berduet dalam lagu hit Filipina iaitu Neiti yang telah dialihbahasakan oleh Tris Zainol berjudul Anugerah Cinta.
Sementara Kyla atau nama sebenarnya, Melanie Hernandez Calumpad, 28, sememangnya telah dianugerahkan dengan bakat dan rupa yang mempersonakan. Tidak hairanlah mengapa Kyla menjadi idola peminat di Filipina.
Single pertama Kyla yang mendapat sambutan yang sangat menggalakkan ialah Hanggang Ngayon. Dengan single tersebut, beliau telah berjaya menggondol anugerah Artis Baru Wanita Terbaik dan Muzik Video Terbaik pada Anugerah MTV Pilipinas 2001. Single itu kini telah dialihbahasakan ke Bahasa Malaysia berduet dengan Noryn dengan judul Teman.
Kayla juga telah melahirkan sebanyak 5 album sejak 2001 dan meraih kejayaan seperti Album of the Year, Best R & B song, Best Duet Song with Gary V dan People's Choice Artist.
Untuk pengetahuan peminat, sidang media projek ini akan berlangsung di Hard Rock Cafe, KL, pada Selasa, 19 Januari ini dan ia akan dihadiri oleh kesemua penyanyi terbabit.

.jpg)
.jpg)

.jpg)
.jpg)
.jpg)