KUALA LUMPUR, 31 OKT 2007: Bermula tahun depan, warga hiburan akan menyambut Hari Seniman Negara pada setiap 29 Mei bagi menghargai jasa seniman yang banyak berbakti kepada bangsa dan negara.
Tarikh itu juga dipersetujui dengan sebulat suara bersempena memperingati tarikh pemergian Allahyarham Seniman Agung P.Ramlee.
Bermula daripada Kertas Konsep yang diserah kepada Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, ia telah diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada mesyuarat Jemaah Menteri, baru-baru ini.
Dengan pengumuman itu, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) berharap warga filem, muzik dan seluruh seniman tanah air merayakan hari mereka dengan sebaik mungkin dan mendatangkan manfaat kepada masyarakat keseluruhannya.
Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof, berkata semua bidang mempunyai hari memperingatinya, jadi mengapa tidak untuk bidang ini yang banyak menyumbang dan berbakti kepada kemajuan negara.
"Hari Seniman Negara ini, bukan sahaja untuk meraikan warga seniman yang sudah pergi atau pun masih hidup, malah persatuan ini juga telah banyak merangka program amal dan kemasyarakatan untuk hari bermakna ini.
"Selain acara berbentuk hiburan, kita akan mengadakan program amal seperti gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran yang akan ditentukan, kunjungan ke rumah anak-anak yatim, warga emas termasuk mengadakan acara sukan," katanya.
Selain itu katanya, ia juga bertujuan untuk merangsang semangat berkarya di kalangan para seniman tanah air dalam bidang masing-masing demi kemajuan dan memartabatkan industri berkaitan keseniman.
Beliau berkata lagi, kerajaan juga bersetuju memperuntukkan sebanyak RM8 juta untuk mengadakan pelbagai program sempena hari bersejarah tersebut.
Seniman juga mencadangkan 22 kategori yang termasuk dalam takrif seniman, antaranya Pelakon Flem/ TV/ Radio/ Video/ Iklan dan Teater; Pengarah Filem/ Drama TV / Radio / Video / Iklan dan Teater; Pelawak; Penari; Pemain Silap Mata; Penyanyi; Pemuzik; Pencipta Lagu; Pekerja; Penulis; Penulis Skrip; Penulis Lirik; Penyiar; Sasterawan; Pelukis; Seni Kraf; Pengacara dan Pengulas Sukan - murai.com.my





.jpg )
.jpg )



