Kemuncak Konsert Khadijah Ibrahim Di DFP
Jangan Tak Lihat
Teks oleh Thani Hasbullah
Kemuncak pengalaman menyanyi selama hampir 3 dekad kini dirasai penghibur evergreen Khadijah Ibrahim apabila akan muncul dalam konsert khas bergelar The Pearl Anniversary Concert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC pada 17 dan 18 November 2008.
Lebih bermakna, konsert istimewa itu akan ditonton tetamu diraja iaitu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah. Turut berangkat adalah Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun.
Menyebut nama Khadijah Ibrahim atau Khaty, semua peminat akan merindui suaranya emasnya dalam melagukan melodi indah seperti Ku Sangka Siang Kiranya Malam, Potret Kasih, Tangisan Hati Yang Derita, Surat Terakhir, Mengapa Aku Disalahkan dan Doa Buat Kekasih.
"Saya benar-benar terharu dengan undangan ini. Persembahan selama 2 jam itu akan diiringi 5 penyanyi latar dan 11 pemain muzik terbaik. Ia adalah refleksi kepada perjalan jauh saya dalam dunia nyanyian selama 30 tahun.
"Saya bangga kerana akan ditemani oleh 2 insan yang hebat dan penting dalam kerjaya saya iaitu Datuk Ahmad Nawab dan Ramli Sarip. Saya juga akan berduet dengan mereka dalam beberapa lagu," katanya.
Kathy mula melangkah ke dunia nyanyian pada 1978 dan mempunyai 18 buah album Melayu dan Inggeris. Beliau dilahirkan di Singapura tetapi menerima pendidikan di Sekolah Convent Setapak, Sekolah Menengah Air Panas, Setapak & Bukit Bintang Girl's School (BBGS) sebelum menjadi artis pada usia 19 tahun.
Bakat seninya adalah kesinambungan abangnya Latiff Ibrahim dan kakaknya, Sophia Ibrahim manakala ayah saudaranya adalah Allahyarham Seniman Hussien Abu Hassan.
Antara album Khaty adalah Sehari Dalam Cinta, Potret Kasih, Mengapa Aku Disalahkan, Soundtrack Sumber Ilhamku, Wajah Impianku, Citarasa, Romantika, Ihsan, Lagu Zaman, Khadijah 88, Terbang Pulang, Just Thinking of Us, Everyday Girl serta I'll Never Be The Same.
Beliau juga seorang pelakon dan membintangi filem Kembara... Seniman Jalanan, Mr. Cinderella, telefilem Menghitung Hari, Mahligai Gading serta Tiada Sempadan.
Setakat ini tiket-tiket konsert Khaty sudah laris dijual dan hanya tinggal beberapa tempat lagi. Ia boleh ditempah di talian 012-2251179 atau 019-2108787 pada harga RM120, RM100, RM80 dan RM50.

.jpg)
.jpg)

.jpg)
.jpg)
.jpg)