Teks oleh Liyana Zainudin
Bagi penggemar filem-filem seram, anda pasti tertunggu-tunggu untuk memiliki koleksi cerita dari Indonesia yang kini didatangkan dalam bentuk DVD dan VCD.
Filem-filem seram Indonesia itu menghamparkan kengerian dan antara yang terbaru adalah Suster Ngesot The Movie, Pulau Hantu, Beranak Dalam Kubur, Lagenda Sundel Bolong dan Pocong 3. Ia diterbitkan oleh Sendi Mutiara Marketing Sdn. Bhd.
Bagi penggemar filem sekuel Pocong, tentunya kehadiran Pocong 3 dinantikan. Kisah Putri, seorang DJ kelab malam telah diganggu kuasa halus selepas mengunjungi pusara ayahnya selepas meninggalkan dunia hampir 10 tahun. Pelbagai kejadian pelik yang menimpa menjadi tanda tanya sehingga mengganggu kerjayanya di kelab malam. Ini mendorong Putri mencari adik kandung ayahnya, Laksmi, untuk merungkai segala persoalan.
Lagenda Sundel Bolong pula menterjemah satu kejadian pelik di Kampung Sindang Sari. Imah, bekas penari ronggeng dan suaminya berpindah ke Sindang Sari, dipandang rendah oleh penduduk kampung. Walaupun sudah lama berhenti dari pekerjaan asal, Imah dan suaminya bekerja sebagai pengutip daun teh dibawah majikan bernama Danapati.
Danapati telah mengambil kesempatan memperkosa Imah sewaktu ketiadaan suaminya. Selepas apa yang berlaku, banyak kejadian aneh telah timbul seperti pembunuhan ngeri dengan mayat luka dipinggang dan sudah bolong. Ini membuatkan ramai penduduk resah dan curiga antara satu sama lain.
Filem berlatarbelakangkan hubungan cinta antara jururawat dan doktor mengisi cerita Suster Ngesot The Movie. Dendam lama hantu jelmaan Lastri yang dibunuh oleh kekasihnya Dr. Herman datang menghantui. Mayat Lastri rupanya ditanam di dalam tembok dinding bilik sewa milik Vira dan Silla. Kedua-dua sahabat ini bekerja sebagai jururawat di hospital itu dan Vira mempunyai seorang kekasih bernama Mike.
Percintaan yang terjalin itu mengundang hantu Suster Ngesot membalas dendam pada Dr. Herman Silla dan Mike. Tetapi, apakah kaitannya Dr. Herman, Silla dan Mike dengan hantu ini?
Lain pula ceritanya dalam Beranak Dalam Kubur. Dulu judul yang sama pernah dilakonkan oleh Seniwati Suzana tetapi versi terbaru dilakonkan oleh pelakon remaja Indonesia masa kini. Plotnya juga berbeza.
Keajaiban aneh seorang mayat wanita telah mengganggu latihan amali sekumpulan pelajar jurusan perubatan dari sebuah universiti. Mereka diganggu dan dihantui setelah menjumpai mayat wanita tersebut di hospital berkenaan sehingga mendapat tahu wanita itu pernah melahirkan bayi di dalam kubur!
Sejak kejadian itu, roh muncul untuk membalas dendam. Mampukah pelajar-pelajar itu membantu roh wanita tersebut bersemadi dengan aman?
Sebuah lagi filem menarik adalah Pulau Hantu. Percutian indah di sebuah pulau terpencil bertukar seram apabila mereka diusik dan diimbas dengan rupa makhlus halus yang menakutkan. Akibat melanggar larangan iaitu pergi ke bahagian belakang pulau, seorang demi seorang menjadi mangsa pembunuhan. Saksikan semuanya dari Sendi Mutiara.





.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)



