Teks oleh Kheme Rosly
khemerosly@yahoo.com
KUALA LUMPUR, 2 JAN 2013: Akhirnya rancangan realiti Fear Factor Selebriti Malaysia yang ditunggu telah pun menemui peminat pada minggu pertama siarannya iaitu 29 Disember 2012 lalu.
Seramai 15 pasukan yang terdiri daripada 30 orang selebriti tempatan berentap merebut gelaran pertama juara Fear Factor Selebriti Malaysia. Antaranya ialah Jehan Miskin, Dafi, Arja Lee, Farish Aziz, Akim, Didie Alias, Kaka dan Johan As'ari.
Menjadi salah seorang daripada selebriti yang terlibat dalam rancangan realiti tersebut, Johan As'ari mengakui rancangan ini benar-benar menguji daya ketahanan mental dan fizikal seseorang individu.
Malah, dia sendiri turut mengalami kecederaan ketika melakukan salah satu cabaran yang perlu diharungi peserta program realiti tersebut.
"Sepanjang berada di Afrika Selatan ia merupakan pengalaman yang mencabar dan berharga. Walaupun beberapa kali mengalami kecederaan tetapi ia antara pengalaman yang tak saya perolehi berbanding program televisyen lain.
"Apa tidaknya, 5 kali saya disengat kala jengking dan disebabkan itu saya terpaksa dibius. Sakit tak payah cakaplah, memang berbisa. Nasib baik saya mempunyai partner yang supportive macam Kaka.
"Pengalaman di lokasi memang sangat best dan saya banyak habiskan masa dengan Gambit ketika berada disana,"ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran Fear Factor Selebriti Malaysia di Menara KH, ibu negara, baru-baru ini.
Johan yang dikenali dengan sifat yang mesra dan sempoi seringkali disalah anggap hinggakan ianya telah mencetuskan pelbagai cerita. Antara yang paling diingati sepanjang 2012 adalah apabila dia digosipkan bercinta dengan aktres Nabila Huda, sedangkan hakikatnya mereka hanyalah sekadar kawan sahaja.
"Mungkin ramai yang tidak mengenali saya. Saya seorang yang mudah mesra dan ramai kawan. Lagipun sebagai artis saya masih manusia biasa tetapi saya tahu apa yang perlu dan tidak dilakukan. Cuma kadangkala bila terlalu diperkatakan, mulalah benda-benda kecil pun diambil kita.
"Contohnya seperti saya ucapkan perkataan sayang dan segalanya kepada rakan artis, bagi saya ia cuma sekadar perkara biasa kerana sayang yang saya ucapkan bukanlah bermaksud cinta. Tetapi lumrah sebagai seorang artis, orang akan anggap macam-macam. Saya terima kerana ia bukanlah satu isu besar untuk diperkatakan.
"Kalau boleh saya tak mahu terlalu membataskan apa yang saya buat kerana itu adalah berkenaan dengan diri saya. Saya tahu apa yang saya buat. Biarlah anda menilai dengan rasional bukan membuta tuli membuat anggapan,"ujarnya yang tidak pernah kesal memilih kerjaya sebagai pelakon.









