MUMBAI, 15 OKT 2012: Sejak mula sibuk menjayakan promosi filem terbaru lakonannya, Aiyyaa, aktres Rani Mukherjee pun terus ditanya tentang perkahwinan rahsianya dengan pembikin filem Aditya Chopra.
Aktres Bollywood berusia 34 tahun ini kemudian berkata, seluruh India nampaknya begitu mengambil-berat tentang perihal perkahwinannya hingga dia berasakan seolah-olah anak kepada seluruh negara tersebut.
"Saya percaya kepada kelahiran, perkahwinan dan kematian. Ketiga-ketiga ini, tiada siapa pun yang mampu meramalkannya. Sekiranyanya saya berkahwin, ia pastinya akan menjadi hari yang cukup menggembirakan buat saya dan seluruh peminat saya," katanya.
Rani Mukherjee juga memberitahu bahawa isu tentang perkahwinannya juga langsung tidak membuatkan dia berasa rimas atau tertekan.
"Saya rasa bertuah kerana semua orang memikirkan tentang perkahwinan saya dan sangat mengambil berat tentang hal tersebut. Nampaknya seluruh India, mahu saya berkahwin," katanya.
Rani bagaimanapun menempelak tuduhan yang mengatakan bahawa filem terbaru lakonannya itu mempunyai persamaan dengan The Dirty Picture yang dibintangi Vidya Balan.
"Saya tidak rasa wujud persamaannya dan ianya juga tidak perlu dibanding-bandingkan. Anda perlu melihatnya terlebih dulu sebelum memberikan komen-komen yang sedemikian.
"Ada kalanya orang terpaksa menulis sesuatu dan mungkin dari situlah munculnya cerita-cerita yang seperti ini. Apapun, saya harap filem ini akan diterima," katanya.










