Teks oleh Kheme Rosly
khemerosly@yahoo.com
KUALA LUMPUR, 24 SEPT 2012: Belum reda cerita putus cinta penyanyi Yuna dengan Qi Razali, Remy Ishak dengan dan Tiz Zqayah serta Aliff Aziz -Anne Ngasri, kini timbul cerita pasal pasangan bahagia Rashidi Ishak dan Vanidah Imran yang telah diminta rujuk dengan jabatan agama.
Ia ekoran daripada satu kenyataan yang dibuat Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria kepada Utusan Malaysia mengenai lakonan mereka didalam filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki. Menurut Mufti tersebut , Rashidi ada mengungkapkan lafaz cerai kepada Vanidah dan ia mungkin membuatkan ikatan perkahwinan mereka jadi tidak sah.
Vanidah ketika dihubungu melalui BBM pada awalnya tidak keberatan untuk mengeluarkan kenyataan balas mengenai isu ini. Namun, ketika dihubungi semula, aktres ini memohon maaf kerana buat masa ini dia tidak dapat memberikan sebarang kenyataan berhubung isu ini.
"Buat masa ini abang Shidi (Rashidi Ishak) tidak membenarkan saya membuat sebarang kenyataan mengenai hal ini. Dia sedang berjumpa dengan mereka yang arif dengan perkara ini, sorry ya," petikan teks yang dihantar Vanidah kepada pihak murai.com.my
Pada awalnya, kedua-dua personaliti ini nyata hairan apabila isu ini dibangkitkan secara meluas di dalam Twitter. Namun begitu, Rashidi dilihat cukup tenang menangani isu ini.
Antara yang menarik perhatian adalah nasihatnya mengenai etika penulisan dan juga berterima kasih dan terharu dengan rakyat Malaysia yang begitu prihatin dengan status hubungan pasangan ini. Kedua mereka melangsungkan perkahwinan pada 1 Oktober 2000.










