Teks oleh Kheme Rosly
khemerosly@yahoo.com
Foto oleh Mazlan Yunos Photography
KUALA LUMPUR, 21 SEPT 2012: Walaupun sedang melalui fasa yang melibatkan kisah percintaannya putus di tengah jalan, namun Yuna tetap ceria dan masih memenuhi undangan apatah lagi acara fesyen yang sudah menjadi sebahagian daripada dirinya.
Pada majlis grand opening untuk label H&M semalam di Lot 10, Bukit Bintang, Yuna hadir memperagakan koleksi terkini label highstreet itu. Dalam kesempatan bertemukan ikon buat hijabi ini, murai.com.my meminta gadis ini mengulas mengenai hal ini namun dia memilih untuk tidak memberi komen tentang hal ini.
"Apa yang saya cakap di dalam akhbar Berita Harian semalam , itulah sahaja jawapan yang boleh saya berikan. Rasanya saya sudah menjelaskan kepada semua situasi yang berlaku, selebihnya saya tidak mahu komen apa-apa,''ujar penyanyi yang berusia 27 tahun ini.
Minggu ini ramai yang dikejutkan dengan kenyataan Yuna mengenai perpisahannya bersama pengacara Qi, atau nama sebenarnya Qushairi Razali setelah dikatakan tidak lagi boleh menanggung komitmen bercinta secara jarak jauh.
Namun laporan daripada sebuah portal hiburan ada mengatakan walaupun sudah tidak mempunyai ikatan sebagai pasangan kekasih, Yuna dan Qi dikatakan masih berkawan baik. Malah, Yuna juga menjelaskan bahawa dia baru sahaja melepak bersama Qi beberapa hari lepas.
Walaupun katanya sudah kembali solo, Yuna memberitahu bahawa she is single now, but not available. Dia juga mengharapkan para peminat tetap mendoakan kesejahteraan buat dirinya mahupun Qi. Soal jodoh dia hanya berserah, buat masa ini dia hanya mahu menikmati kehidupan, menggembirakan hatinya sendiri.










