Teks oleh Haswari Ali
Email: ayie@astro.com.my
KUALA LUMPUR, 20 SEPTEMBER 2012: Saranan buat peminat fanatik Rozita Che Wan supaya tidak lagi mengunjungi laman sosial Facebook yang palsu kepunyaan pelakon cantik berkenaan kerana dia kini memiliki laman sosialnya sendiri sejak awal bulan ini.
Dengan menggunakan nama akaun rasminya, Rozita Che Wan (RCW), akaun berkenaan diwujudkan khas buat peminatnya untuk mengikuti segala aktiviti serta agenda seni pelakon sensasi berkenaan.
Sejak dilancarkan, Rozita Che Wan (RCW) telah menerima lebih 4,000 pengunjung dan bakal bertambah tidak lama lagi sebelum menyusul pula laman sosial Twitter dan juga Instagram tidak lama lagi.
Bercakap kepada portal murai.com.my baru-baru ini, Rozita Che Wan berharap dengan penerbitan akaun berkenaan, ia dapat memansuhjan kewujudan laman FB palsu yang sememangnya bukan dikendalikan olehnya.
"Idea membuka akaun FB khusus buat peminat ini telah diusulkan sendiri oleh syarikat pengurusan baru saya, Laugh Out Loud Entertainment Sdn Bhd (LOL) yang telah menjaga sehala pengurusan aktiviti seni dan pengawalan media sejak awal bulan ini
"Alhamdulillah, maklum balas yang saya terima sangat memuaskan hati. Walaupun dunia FB masih baru buat saya, tetapi saya sudah mula berjinak-jinak menulis status profil dan berkongsi segala macam hal berkenaan dengan kerjaya saya kepada peminat," katanya gembira.
Mengakui bahawa keputusannya membuka akaun FB agak lambat iaitu selepas lebih 5 tahun bergelumang dalam industri seni, Rozita Che Wan bagaimanapun yakin jumlah peminat yang mengikuti laman rasmi miliknya itu akan bertambah dari hari ke sehari.
Meskipun begitu, dia juga sedar bahawa dia perlu berhati-hati berkongsi idea di dalam laman rasmi peminatnya itu bagi mengelakan sebarang kontroversi atau perkara yang tidak diingini berlaku.
"Alhamdulillah, sejak LOL menjaga saya, pelbagai perkembangan positif yang dilaksanakan mereka dan selepas ini saya akan tampil pula dengan akaun sosial lain. Biarlah saya lakukannya sedikit demi sedikit, asalkan memberi kesan.
"LOL bukan saja bertindak sebagai syarikat pengurusan saya yang menguruskan hal penajaan, acara dan projek, malah apa yang lebih penting mereka akan membantu saya dari sudut kawalan media.
"Maklum sajalah, sebelum ini banyak gosip dan kontroversi tidak berasas yang menerpa saya. Sebagai orang perseorangan saya tidak pandai menguruskannya lebih-lebih lagi apabila ditanya oleh pihak media.
"Jadi dengan adanya syarikat pengurusan ini, mereka akan membantu saya tentang cara bagaimana untuk berhadapan dengan pihak media dan mereka sendiri akan memberi segala kenyataan berkenaan apa juga isu yang timbul. Pendek kata mereka adalah orang tengah saya sekarang ini," katanya jujur.










.jpg)