Teks oleh Kheme Rosly
khemerosly@yahoo.com
Foto oleh Mazlan Yunos Photography
KUALA LUMPUR, 21 SEPT 2012: Rata-rata peminat teruja apabila diva soul pujaan ramai, Ning Baizura telah pun melangkah ke fasa baru dalam hidupnya iaitu bakal bergelar seorang ibu dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Kandungan yang bakal memasuki usia 5 bulan itu membuahkan rasa gembira kepada seluruh keluarga dan peminat kepada penyanyi bersuara soprano ini. Malah, ibu Ning iaitu , Satila Abdullah turut melahirkan perasaan syukur yang tidak terhingga kerana bakal bergelar nenek tidak lama lagi.
"Tiada apa lagi yang mampu saya ungkapkan. Hanya ucapan syukur Alhamdulillah di atas kurniaan Allah kepada anak saya Ning Baizura. Walaupun saya sudah meningkat usia tetapi Allah masih memberi peluang kepada saya untuk menimang cucu dan bergelar nenek. Ini merupakan cucu pertama saya.
"Saya berdoa dan berharap bayi yang bakal Ning lahirkan kelak akan berada dalam keadaan sihat dan sempurna serta cukup sifatnya. Apa pun jantina yang bakal dilahirkan nanti saya terima,"ujarnya yang lebih mesra digelar Auntie Stella.
Auntie Stella berkata demikian sewaktu ditemui di majlis sidang media khas yang diadakan oleh Ning Baizura sendiri bagi mengumumkan kehamilannya secara rasmi kepada pihak media yang sebelum ini sering membuat spekulasi mengenai isu tersebut.
Turut hadir di di majlis sidang media khas yang berlangsung di Restoran Bijan, Jalan Ceylon di ibu negaraitu adalah suami tercinta Ning sendiri iaitu Omar Layton Dalton.










