Teks oleh Syafiqah Jalal
Foto oleh Mazlan Yunos Photography
KUALA LUMPUR, 19 SEPT 2012: Sebaik saja melihat kumpulan The Wanted membawa 5 gadis yang dipilih secara rawak untuk naik ke atas pentas, peminat dari kalangan wanita yang lain terus menjerit sekuat hati, seolah-olah seperti terkena histeria.
Barangkali tidak dapat menerima hakikat bahawa bukan mereka yang berada di atas sana. Lebih-lagi setelah The Wanted membawakan lagu Heart Vancacy terhadap kelima-lima gadis tersebut secara berpasangan.
Hati setiap gadis yang terpilih untuk berada di =pentas itu pula pastinya jadi 'cair' apabila setiap anggota The Wanted iaitu Max George, Nathan Sykes, Tom Parker, Jay McGuiness bersama seorang ahli berdarah kacukan Sri Lanka-Ireland, Siva Kaneswaran menyanyikan lagu tersebut dengan romantisnya sambil memeluk serta menggenggam tangan mereka.
Begitulah senario yang berlaku sewaktu kumpulan vokal daripada United Kingdom ini membawakan persembahan secara langsung alam konsert terbesar, The Wanted Live In KL, Surf Beach, Sunway Lagoon pada malam Isnin lalu.
Meskipun The Wanted muncul agak lewat di pentas selepas vokalis Click Five, Kyle Patrick membuka tirai persembahan di dalam konsert itu, namun seramai 1000 penonton yang hadir tetap setia menanti sambil memanggil nama kumpulan tersebut keluar sehinggalah mereka muncul sekitar jam 9.30 malam. Mereka memulakan persembahan yang agresif menerusi lagu, Invincible.
Audiens terus bersorak kegilaan sebaik sahaja melihat mereka muncul dan terus menari mengikut rentak beberapa lagu-lagu hit The Wanted yang dimuatkan di dalam 3 buah album mereka iaitu The Wanted, Battleground dan The Wanted ( USA Debut).
Menariknya, selepas menyampaikan 4 buah lagu termasuk Lose My Mind, Rocket dan Lightning, barulah The Wanted membuat kejutan dengan membawakan lagu Heart Vancacy terhadap 5 peminat perempuan yang dipilih naik ke pentas itu.
Selepas sesi bersama peminat di atas pentas itu berakhir, The Wanted meneruskan persembahan mereka dengan menyanyikan lagu-lagu medley daripada kumpulan Coldplay seperti Viva La Vida, Paradise, Fix You dan Every Teardrop Is A Waterfall.
Kemantapan vokal serta aksi comel mereka di atas pentas telah membuatkan ramai penonton terutama gadis menjerit kegilaan apabila mereka menyanyikan lagu popular seperti Chasing The Sun dan Glad You Came di akhir konsert.
The Wanted hanya menghabiskan masa di konsert anjuran JS Concerts ini selama sejam lebih sahaja dengan menyanyikan 13 lagu termasuk Warzone, Gold Forever, All Time Low, Say It On The Radio serta single terbaru daripada mereka iaitu I Found You.








.jpg)

