Amy Mastura Hanya Pilih Produk Jepun?

berita | Tempatan

Amy Mastura Hanya Pilih Produk Jepun?

addthis kongsi icon

Teks oleh Kheme Rosly

khemerosly@yahoo.com

Foto oleh Sam Kassim

KUALA LUMPUR, 18 SEPT 2012: Walaupun aktiviti seninya kini tidak begitu menonjol, namun nama penyanyi dan pelakon Amy Mastura masih tetap gah dan tidak tenggelam dek kebanjiran artis-artis baru. Malah, dia sering terpilih untuk menjadi duta dan jurucakap bagi produk-produk terkenal dan kebanyakkan berasal daripada Jepun.

Popular pada sekitar tahun 90-an dengan lagu Jawapan Kasih, Amy Mastura turut berkongsi rahsia dan tips kepada murai.com.my bagaimana dia terus kekal menjadi duta kepada produk yang sebeginya, antaranya Kose, Omega, Takasima dan Lifebouy.

"Saya pun tak tau kenapa jenama dari Jepun berminat ambil saya jadi duta produk mereka. Tak pernah rancang dan tak pernah pun memilih, itu semua mungkin rezeki yang Allah kurniakan kepada saya. Nak kata muka macam Jepun tidak, tapi mungkin dulu saya bermula pun di Asia Bagus, jadi ianya mungkin hanya secara kebetulan rasanya.

"Bagi saya selain rezeki, imej menjadi perkara utama diperhatikan. Jadi imej menjadi elemen yang saya titikberatkan, seperti menjaga nama keluarga saya cuba untuk tidak terlibat dalam perkara yang akan menimbulkan masalah justeru mencalarkan imej sebagai selebriti dan juga duta.

"Tanggungjawab saya selain mewakili produk adalah untuk menjaga hubungan dengan client. Populariti memang membantu juga tetapi client lebih mahukan imej yang bersih untuk mewakili produk mereka,"ujarnya mengenai khidmatnya sebagai duta kepada jenama-jenama terkenal ini.

Amy Mastura yang bermula sebagai seorang penyanyi kini dilihat lebih banyak melibatkan diri dengan dunia lakonan. Dia juga dilihat banyak melakonkan watak komedi berbanding watak-watak lain. Menurut Amy pula, dia tidak terlalu merancang, sebaliknya hanya berserah kepada rezeki yang dikurniakan.

"Sebenarnya kedua-dua karier nyanyian dan lakonan saya masih lagi aktif. Bergantung kepada tawaran yang mana datang dahulu saya terima jika tiada komitmen lain. Undangan nyanyian pun masih saya penuhi cuma mungkin tiada album baru jadi mungkin umum terlupa.

"Saya sendiri tidak terlalu merancang aktiviti seni. Seperti juga watak yang ditawarkan, komedi atau apa sahaja yang sesuai saya terima. Mungkin ramai yang lihat saya menonjol dalam watak komedi, saya ada juga melakonkan watak-watak lain,"tambahnya yang pernah popular dengan filem Puteri Impian dan Trauma ini.

Amy Mastura ditemui ketika pelancaran produk terbaru Kose Infinity Prestigious di Suria KLCC dimana dia telah mendendangkan sebuah single terbaru daripadanya yang berjudul 'Itu Dulu'. Single yang dicipta oleh Panji itu akan dimuatkan dalam album kompilasinya yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

Komen-Komen | 0

Nama:


Komen Anda:


Aksara yang tinggal: