Rossa Sudah Bawa Pacarnya Jumpa Rizki Langit Ramadan

berita | Tempatan

Rossa Sudah Bawa Pacarnya Jumpa Rizki Langit Ramadan

addthis kongsi icon

Teks oleh Syafiqah Jalal

Foto oleh Mazlan Yunos Photography

KUALA LUMPUR, 14 SEPT 2012: Penyanyi popular Indonesia, Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani akui hatinya kini sudah dimiliki oleh seorang ahli perniagaan yang dikenalinya dari negara kelahirannya sendiri.

Malah, Rossa yang masih belum bersedia untuk mendedahkan siapa sebenarnya jejaka berkenaan turut memberitahu bahawa sejak mengenali hati budi masing-masing, dia dapat merasakan keserasian di antara mereka.

"Ya, memang saya sudah punya pacar (kekasih) dan saya dapat rasakan kami secocok dan punya keserasian yang sangat kuat. Namun saya belum bersedia untuk mendedahkan kepada umum siapa dia kerana takut dia tertekan dan tidak biasa dengan tumpuan terutamanya pihak media. Lebih-lebih lagi bila bersama saya yang seorang public figure," katanya kepada murai.com.my yang kini berada di sini bagi melancarkan serta mempromosikan album kompilasi The Best of Rossa, petang semalam.

Dalam pada itu, Rossa yang ditanya mengenai laporan media di Indonesia yang mendakwa dia sudah membawa teman lelakinya itu bertemu keluarga, Rossa menjawab, dia akan berbuat demikian pada semua lelaki yang dikenalinya dan perkara itu bukanlah sesuatu yang pelik.

"Sebenarnya saya bawa sahaja semua teman saya berjumpa ibu bapa dan keluarga selama ini, tidak kira yang istimewa atau pun tidak, Jadi perkara itu adalah sesuatu yang biasa dan bukan luar biasa.

"Namu, ia tidak bermakna semua teman yang saya bawa jumpa itu bermakna saya akan serius untuk berkahwin dengannya. Lagipun saya sudah pernah berkahwin, jadi saya tak perlu tergesa-gesa dalam hal ini," jelasnya lagi.

Selain keluarga, penyanyi lagu Ayat-Ayat Cinta ini akui sudah memperkenalkan kekasihnya itu kepada satu-satu anaknya iaitu Rizky Langit Ramadan.

"Terus-terang Rizky senang aja dan tiada apa-apa masalah dengan dia (kekasihnya), malah gembira mengenali dia," luahnya lagi

Rossa yang juga ibu tunggal kepada anak lelaki yang berusia 5 tahun itu telah bercerai dengan anggota kumpulan Padi iaitu Yoyo pada 14 Julai 2009 selepas 5 tahun berkahwin.

Rossa yang bakal berada di sini sehingga 16 September ini, muncul dengan album kompilasi edaran Suria Records yang memuatkan 16 lagu popular antaranya Pudar, Ayat-ayat Cinta, Tegar, Atas Nama Cinta dan Hati Yang Kau Sakiti. Ia kini sudah pun berada di pasaran.

Komen-Komen | 1
Hantar Komen Anda
ayuh rossa,saya minat lagu kak rossa yg brtjuk,HATI YG KAU SAKITI...huhu,,smua lgu kak rossa top lha..
Diana July - 14-Sep-2012