KL, 14 SEPT 2012: Bakat lakonan yang dimiliki bekas ratu cantik Malaysia, Erra Fazira sememangnya dikagumi peminat seni tempatan. Malah, Erra juga berjaya memikat hati peminatnya dengan suaranya yang gemersik menerusi lagu popularnya seperti Pasrah dan Jendela Hati.
Pun begitu, selain menyanyi dan berlakon, Erra juga sebenarnya mempunyai bakat dalam bidang pengacaraan selepas berjaya menjadi hos dalam beberapa buah program TV sebelum ini.
Oleh itu, secara peribadi, Murai Batu boleh klasifikasikan Erra sebagai artis wanita cantik yang telah membuktikan bahawa kejayaan yang dimiliki yang bukan bersandarkan pada wajah saja.
Terlanjur Murai Batu dah jatuh cinta untuk berbicara tentang isteri kepada Engku Emran ini, Murai Batu mendapat tahu, bakat Erra dalam bidang pengacaraan akan diteruskan lagi apabila dia bakal muncul dengan sebuah program bual bicara dalam masa terdekat ini.
Dengarnya, menerusi program yang diberi nama Primadona itu nanti, Erra akan menyelami hati wanita dan mengorek rahsia beberapa lelaki terkenal tentang isu melibatkan wanita. Wah, kelas gitu.
Lebih menarik lagi, Erra tidak keseorang dalam program tersebut kerana Murai Batu diberitahu Raja Azura, Ziela Jalil dan Rozita Che Wan akan turut sama bergandingan dengan Erra selaku hos.
Sungguhpun Murai Batu tidak tahu bilakah waktu tayangan program berkenaan, tetapi Murai Batu difahamkan program yang dijadualkan berdurasi selama sejam itu akan disiarkan di Astro Warna.
Yang penting, Murai Batu tambah teruja untuk menantikan program ini kerana kesemua pengacara yang bergandingan dengan Erra terdiri daripada ibu-ibu yang cantik.
Merisik lebih dalam lagi, idea untuk menerbitkan rancangan ini timbul berikutan kejayaan rancangan raya khas Erra yang telah disiarkan baru-baru ini. Kalau tidak silap Murai Batu, nama rancangan itu adalah Eh, Eh, Raya Erra.
Yang menariknya, Murai Batu diberitahu penjaga gol kebangsaan iaitu Khairul Fahmi Che Mat atau Apex dikhabarkan antara tetamu yang bakal dijemput oleh program ini.
Jika benarlah perkhabaran ini, bagaimana agaknya aksi si Apex apabila di apit oleh empat wanita cantik yang berstatus ibu ini.
Apapun, Murai Batu ucapkan syabas buat Erra. Walaupun hatinya diguris dengan gosip rumahtangga goyang, rezeki tetap memihak kepadanya.
MURAI BATU: Tidak semua yang cantik itu palsu.










