Teks oleh Syafiqah Jalal
Foto oleh Mazlan Yunos Photography
KUALA LUMPUR, 17 SEPTEMBER 2012: Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim akui kesal selepas filem 3D pertama di Malaysia iaitu 29 Februari tidak mencapai sasarannya, malah menerima kutipan paling rendah iaitu hanya mencecah sekitar angka RM400, 000.
Namun, Norman Abdul Halim atau Noramn KRU berkata, pihaknya tidak menganggap ianya sebagai satu kegagalan, sebaliknya sebagai satu pengalaman berguna untuk filem 3D akan datang.
"Saya rasa agak kecewa juga bila filem 29 Februari yang kami harapkan akan mencapai kutipan yang tinggi itu tidak mencapai sasaran kami.
"Kami rasakan ia akan mendapat sambutan yang menggalakkan berikutan ianya filem 3D pertama, tetapi malangnya ramai penonton yang beranggapan ianya hanya sebauh filem propraganda sahaja.
"Namun kami tidak mengganggap ianya sebagai kegagalan, sebaliknya ia boleh menjadi pengajaran atau pengalaman baru buat kami kepada filem 3D kami yang akan datang seperti Vikingdom dan Cicakman kelak.
"Malah, ukuran kejayaan filem itu bukan pada kutipannya sahaja tapi mungkin pada festival filem, pasaran antarabangsa dan hak penyiaran di televisyen dan Astro First nanti," katanya yang meramalkan filem itu mampu meraih kutipan maksimum sebanyak RM500,000 sahaja.
Terbaru, KRU Studios telah menubuhkan anak syarikat terbarunya iaitu Showbiz Productions yang bakal muncul dengan filem pertamanya iaitu Hantu Kapcai.
Norman berharap, filem Hantu Kapcai terbitan Showbiz Production itu akan memberi semangat baru selepas kecewa dengan sambutan 29 Februari baru-baru ini.
"Sebenarnya, kami ada hala tuju dan visi tersendiri. Penubuhan Showbiz Productions mempunyai objektif dan fungsi berbeza daripada filem-filem terbitan KRU Studios yang lain.
"Menerusi Showbiz, kami memfokuskan pada filem-filem komersial dan ringan mengikut selera dan trend semasa berbeza dengan filem-filem terbitan KRU Studios yang bertumpu kepada tema dan skala besar.
"Dengan cara ini, kami dapat mengasingkan pecahan penonton sasaran mengikut selera mereka pada filem-filem yang kami terbitkan. Jadi kami sangat teruja dengan filem pertama terbitan Showbiz ini dan Hantu Kapcai harapan besar kami selepas ini," jelasnya lagi.
Filem sulung arahan Ghaz Abu Bakar yang dibintangi antaranya Zizan Razak, Remy Ishak, Fizz Fairuz, Neelofa, Izzue Islam, Hairulazreen dan Riza Amin itu akan ditayangkan bermula 27 September ini.










