Teks oleh Kheme Rosly
khemerosly@yahoo.com
KUALA LUMPUR, 12 SEPTEMBER 2012: Melihat pada cerita dan kisah rumahtangga Rita Rudaini dan Aidil Zafuan ia seperti masih belum ada kata putus atau tanda-tanda untuk berdamai. Malah, semakin lantang kedua-dua pihak memberikan keterangan, semakin banyak cerita baru yang tercetus melibatkan pasangan suami isteri ini.
Individu yang sering dikaitkan dengan pelbagai cerita yang kurang enak ini adalah Ayu Raudhah dan suami, Zaquan Adha. Minggu lalu Rita dikhabarkan telah meluahkan perasaannya terhadap Ayu di dalam Twitter peribadinya dan ianya tekah mengundang pelbagai reaksi daripada umum dan juga Zaquan sendiri.
Ayu pula dalam kenyataannya mengenai hal ini menjelaskan, dia tidak tahu motif sebenar Rita Rudaini menulis perkara sedemikian. Bukan sekali dua dia dan suami disebut menjadi batu api tetapi demi kebaikan Aidil, mereka memilih untuk tidak memperbesarkan atau membalas sebarang kenyataan yang mengaitkan mereka.
"Saya dan Zaquan dah lali dengan benda ini. Isu di Twitter itu pun bukan pertama kali disebut. Biarlah dia mahu cakap apa. Kalau saya balas pun, ia tidak mendatangkan sebarang penyelesaian. Baik kami pekakkan telinga sahaja.
"Cuma yang saya hairan, yang sering menjadi sasaran adalah saya. Sampai cerita mengaitkan Jue Aziz pun dikaitkan dengan saya juga. Kononnya saya yang memperkenalkan Jue dengan Aidil.
"Terpulanglah apa yang dia nak cakap, kalau memang ada bukti silalah tunjuk, jangan sekadar bercakap ikut perasaan,"ujarnya kepada Murai Batu.
Ditanya adakah tuduhan-tuduhan ini akan memberi tekanan dan merosakkan nama baiknya, Ayu berkata, dia sekadar berharap agar pihak umum dapat menilai sendiri perkara itu dengan bijak. Bukan dia tidak mahu tampil membersihkan namanya tetapi ujarnya ia sekadar usaha yang sia-sia.
"Tiada sebab untuk saya tertekan sebab macam saya kata tadi, kalau saya jawab atau balas tuduhan yang dilemparkan pada saya pun situasi tetap tidak akan berubah. Mujurlah keluarga mertua mengambil berat. Malah, mereka yang rasa terbeban kerana saya pula yang terpaksa menerima semua ini, dan bukan mereka.
"Saya fikir satu sahaja, bukan semua orang akan suka kita. Kalau rasa ia tiada kepentingan, biar sahajalah mereka nak cakap, itu yang saya pegang selama ini,"jelas Ayu yang seperti sudah jemu berdepan dengan isu ini yang tidak berkesudahan.










