Teks oleh Kheme Rosly
khemerosly@yahoo.com
KUALA LUMPUR, 11 SEPT 2012: Rentetan daripada kes yang mengatakan dia telah menyerang seorang wanita di sebuah kelab hiburan pada April lalu, Dira Abu Zahar didakwa telah disingkirkan sebagai pengacara Melodi oleh segelinit pihak.
Ditanya mengenai kesahihan perkara ini, Dira pada mulanya seperti tidak mahu lagi memperkatakan tentang hal ini kerana bimbang kenyataannya itu akan disalah tafsir oleh segelintir pihak lain.
Namun, dia berharap penjelasannya ini akan mengubah persepsi dan tanggapan umum terhadapnya beserta program berkenaan.
"Selepas berlakunya insiden tersebut, pihak produksi telah memutuskan untuk merehatkan saya daripada mengacarakan Melodi untuk satu tempoh masa yang ditetapkan. Dalam tempoh tersebut, saya sendiri ada mengusulkan kepada penerbit untuk tidak meneruskan lagi peranan saya sebagai pengacara di dalam program tersebut.
"Setelah berbincang, mereka menerima keputusan saya untuk meninggalkan Melodi. Cerita kononnya saya dibuang itu semuanya tidak benar. Keputusan ini saya buat bagi memudahkan segala perancangan produksi Melodi untuk memilih pengacara baru yang layak menerajui program berkenaan,"jelasnya panjang lebar kepada murai.com.my mengenai desas-desus ini.
Menurut Dira lagi, sepanjang mengacarakan Melodi, penonton seakan terlupa yang dia juga merupakan seorang pelakon. Keputusan untuk meninggalkan program itu juga jelasnya tidak menjejaskan reputasi Melodi.
"Melodi merupakan satu jenama yang sudah cukup kuat. Sesiapa yang berpeluang mengacarakan rancangan ini pasti akan menerima tempias popularitinya dan begitu juga dengan saya.
"Cakap-cakap mengatakan kes saya telah menjejaskan reputasi rancangan ini, pada saya ia hanya kerana saya lebih dikenali sebagai pengacara Melodi dan bukannya pelakon. Jadi soal reputasi, saya rasa ia tidak terjejas kerana orang masih mahu menonton Melodi kerana kekuatan Melodi itu sendiri tidak terletak pada pengacara.
"Mungkin ini sudah ketentuan dan saya menerimanya kerana kini saya dapat menumpukan perhatian yang lebih terhadap bidang lakonan yang saya cintai. Bukan mahu melupakan dunia pengacaraan, tetapi lebih elok saya fokus pada lakonan dan kini sarjana yang sedang saya ikuti,"ujar penuntut dalam bidang pengajian Filem Dan Televisyen Digital di Universiti Lim Kok Wing ini.










