KUALA LUMPUR, 10 SEPTEMBER 2012: Selepas menanti 5 tahun, akhirnya penyanyi Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 32, selamat melahirkan putra sulungnya di Pusat Pakar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras, malam Ahad (9 September).
Bayi lelaki yang diberi nama Nur Iman Syafie itu dilahirkan secara normal pada jam 8.37 malam tadi dan seberat 3.07 kilogram.
Menurut Haiza, selepas dia mengalami kesakitan tatkala berada di rumah dan kemudian terus dibawa ke hospital kira-kira jam 1 petang pada hari yang sama.
Menjelaskan mengenai pemilihan nama anaknya itu, Haiza dan suaminya, Norhanaphe,32, memberitahu nama tersebut telah pun dipilih selepas pasangan ini mendapat tahu jantina anaknya itu sewaktu beberapa bulan mengandung.
"Erti Nur Iman Syafie ialah cahaya keimanan. Kami berharap putra kami ini akan menjadi insan yang beriman," katanya kepada murai.com.my.
Dalam pada itu, Haiza amat bersyukur kerana penantian selama 5 tahun untuk mendapat anak akhirnya termakbul.
"Zuriat ini amat bermakna buat saya dan suami. Syukur kepada Allah. Selepas kami berusaha, akhirnya kami mendapat rezeki yang menggembirakan kami," ujarnya.
Haiza dan Norhanaphe telah mendirikan rumah tangga pada 24 Ogos 2007. Penyanyi yang baru saja muncul dengan lagu Semalam akan bercuti dan kembali aktif selepas tamat tempoh berpantang.










.jpg)