Teks oleh Syafiqah Jalal
KUALA LUMPUR, 10 SEPTEMBER 2012: Ramai pihak terutama peminat telah melahirkan rasa ketidakpuasan hati mereka selepas menyedari bahawa nama aktor kacak, Adi Putra tiada dalam pencalonan bagi kategori Anugerah Watak Penyangak Terhebat dalam Anugerah Blockbuster 2011 yang diadakan buat julung kalinya.
Padahal filem lakonannya iaitu KL Gangster arahan Syamsul Yusof turut dipertandingkan di dalam anugerah tersebut. Bagi menjawab segala perosalan itu, portal murai.com.my telah menghubungi Pengurus Festival Anugerah Blockbuster 2011, Nancie Foo untuk mendapatkan jawapannya.
Nancie Foo memberitahu semua pencalonan telah dilakukan sendiri oleh produser atau penerbit setiap filem dan bukannya ditentukan oleh pihak penganjur.
"Produser adalah pihak bertanggungjawab yang telah mencadangkan nama penggiat seni atau pelakon yang mereka mahu dipertandingkan. Jadi setiap filem itu ditentukan oleh mereka sama ada setiap filem dicalonkan dengan satu atau lebih kategori. Kami sebagai pihak penganjur tiada hak dalam memilih soal pencalonan ini.
"Jika mana-mana pelakon didiapati tidak tercalon untuk filem yang bertanding, maknanya produser filem itu sendiri yang tidak mencalonkan namanya," beritahunya ringkas sambil menjawab segala persoalan mengenai pencalonan pelakon yang dibuat.
Selain KL Gangster, filem yang turut tersenarai dalam Anugerah Blockbuster 2011 adalah seperti Khurafat, Hikayat Merong Mahawangsa, Karak, Kongsi, Hantu Bonceng, Nur Kasih The Movie, Ombak Rindu, Songlap dan banyak lagi.
Anugerah Blockbuster 2011 merupakan sebuah anugerah yang memberikan penonton kuasa untuk memilih dan menentukan siapakah yang layak menang tidak kira samada filem itu mengutip jumlah yang tinggi atau tidak. Dianjurkan oleh Penerbit Filem Malaysia (PFM), anugerah ini akan diadakan pada 6 Oktober 2012 pukul 9 malam bertempat di Stadium Melawati Shah Alam.










