TAJUK: 29 FEBRUARI
GENRE: Drama
PENGARAH: Edry Abdul Halim
PELAKON: Remy Ishak, Jojo Goh, Izzue Islam, Nam Ron
Tayangan: Mulai 30 Ogos 2012
Sekali Imbas
Garapan jalan cerita bagi filem 3D pertama negara ini lain dari yang lain apabila keistimewaan sesorang individu yang dilahirkan pada 29 Februari diangkat menjadi isu. Ia diolah dengan begitu kemas dan memperlihatkan seorang individu yang hidup begitu lama dan telah melalui beberapa era yang telah melakar sejarah negara Malaysia. Ini semua tercetus apabila Edry yakni pengarahnya mempunyai seorang teman yang dilahirkan pada tarikh tersebut dan dia tertarik untuk menceritakan hal ini.
Ulasan Penuh
Walaupun sukar untuk menerima kenyataan mengenai keistimewaan yang cuba ditonjolkan oleh Edry, iaitu ada individu yang meningkat umur setiap empat tahun namun setelah pelbagai elemen yang dimainkan, penulis seolah terbawa oleh jalan cerita dan pelbagai kisah yang berlaku sepanjang hayat Budi.
Budi seolah menjadi tukang cerita kepada setiap era yang dilaluinya. Jika anda menonton filem ini anda dapat merasakan dia telah mengikuti setiap trend dan stail pada setiap era pada pakaian, imej dan perwatakan. Jadi secara tidak langsung anda boleh membayangkan kehidupan ibu bapa malah datuk nenek kita pada zaman mereka.
Berbalik kepada cerita Budi, dia merupakan anak tunggal kepada seorang lelaki Melayu yang bekerja dengan kerajaan British yang ketika itu memerintah. Kedatangan Jepun telah meragut kedua ibu bapanya dan dia telah ambil oleh sebuah rumah kebajikan yang menempatkan kanak-kanak yang kurang upaya dan bernasib baik.
Ketika itu dia mula jatuh hati pada seorang gadis berbangsa Cina dan mendapat tentangan daripada keluarga gadis berkenaan, menyampaikan mesej pada zaman itu perkahwinan campur bukanlah satu perkara yang boleh diterima umum. Namun ia telah mencipta satu kisah disebalik cinta yang dipupuk namun tidak bisa bersatu tetapi sayang kekal buat selamanya.
Kisah persahabatan antara Budi dan Razak juga menarik perhatian kerana mempunyai twist yang membuatkan penonton berfikir tentang apa yang berlaku kepada dua orang sahabat ini. Setelah meningkat dewasa Budi berubah atas tuntutan kehidupan namun dia tetap Budi yang sama cuma mungkin orang yang mengenalinya merasakan dia sudah berubah.
Setelah mengetahui dia masih mempunyai harta peninggalan keluarganya, dia telah membawa diri mahu mencari Lily yang telah dikatakan lari ke Pulau Pinang untuk menjadi penyanyi. Pertemuan diantara Budi dan Lily juga tidak dapat diagak pada awalnya menjadikan ia satu lagi kejutan dalam filem ini.
Pendekatan muzikal yang merupakan signature kepada Edry masih dikekalkan dalan filem ini. Cuma ada beberapa adegan yang seperti terlalu mahu ditonjolkan elemen muzikal itu hingga membuatkan ia terlihat kurang sesuai. Tetapi bagi penulis, elemen muzikal itu kena kerana impian Lily yang mahu menjadi penyanyi telah digarapkan menjadi salah satu kekuatan filem ini. Lagu yang dihasilkan juga mempunyai bait-bait lirik yang memberi kesan kepada penulis yang mendengar dan menonton pada ketika itu.
Persoalan yang diwujudkan oleh Edry sendiri, Anugerah atau Sumpahan akan memberikan penonton ruang untuk mentafsir sendiri keunikan yang dimiliki Budi. Ada juga adegan dan plot dimana Budi seolah menggunakan kelebihan yang dimiliki itu namun di ketika lain pula dia seperti teraniaya kerana keistimewaan yang dimilikinya itu.
Pada penulis ia lebih kepada anugerah kerana ia mempunyai begitu masa yang lama untuk mencorakkan kehidupannya yang begitu panjang. Walaupun sampai akhir hayat dia hidup sendiri namun cinta dan sayang yang ada dalam dirinya tidak pernah berubah kepada Lily. Jadi mungkin Budi memilih untuk berbuat demikian.
Keseluruhannya 29 Februari akan menyajikan pelbagai elemen dalam plot-plot yang kemas dan tidak berlebihan. Footage-footage asal yang telah diedit semula untuk memberikan gambaran sebenar peredaran masa begitu juga format 3D yang membuatkan anda seolah berada di ketika itu.
Banyak reviu positif daripada pelbagai media dan individu dan karya terbaru KRU ini nyata lain dariapda yang lain dari segi jalan cerita dan konsepnya. Syabas kepada KRU kerana terus meletakkan diri mereka untuk bersaing dengan pengeluar filem tempatan lain supaya indutri perfileman terus menghasilkan filem-filem yang bermutu.
Sinopsis
Mengisahkan kehidupan Budi yang dilahirkan pada tahun lompat 29 Februari 1896 dan hanya dimakan usia 4 tahun sekali. Keadaan fizikalnya yang kelihatan terbantut menyebabkan masyarakat menganggap "kecacatan" itu sebagai suatu sumpahan, sedangkan ianya suatu anugerah kepada Budi untuk melalui era transformasi Tanah Melayu, Malaya dan akhirnya Malaysia yang bebas merdeka.
Masa seolah tidak berganjak buat Budi, dan akibatnya dia sentiasa kehilangan orang yang tersayang. Beliau diasuh di sebuah rumah bakti bersama sahabat baiknya Razak, yang cacat penglihatan. Budi melalui perjalanan hidup berlatarbelakangkan detik-detik bersejarah Negara dan mula mengenali erti kebahagiaan apabila berkenalan dengan Lily.
Walaubagaimanapun, kisah percintaan Budi dan Lily melalui pelbagai cabaran dan cinta terlarang. Apakah satu-satunya cinta Budi akan kekal abadi, seiring dengan hayatnya yang tidak dimakan usia?










.jpg)