Teks: Razif Rosdi
Twitter: @AjiebRosdi
KUALA LUMPUR, 6 SEPT 2012: Sungguhpun penyampai Johara Pagi Era FM, Johan tewas di tangan jaguh lumba basikal Azizulhasni Awang menerusi perlawanan ping pong sempena acara Johara Ping Pong 2012 yang diadakan bersama Duta Astro Arena baru-baru ini, namun ia sedikit pun tidak meruntuhkan semangat pasukan tersebut untuk menganjurkan program seumpama itu pada masa akan datang.
Malah, seorang lagi penyampai Johara Pagi Era FM iaitu Haniff yang bertarung dengan Skuad Terjun Negara, Bryan Nickson Lomas dan Leong Mun memberitahu, dia ingin mencabar penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apex pada penganjuran perlawanan akan datang.
"Pada mulanya, Johan hanya mahu bertarung dengan Ketua Jurulatih perseorangan badminton negara, Rashid Sidek saja. Namun, ia bertukar menjadi senbaliknya selepas idea kami diterima pihak Astro Arena. Kebetulan pula, Rashid Sidek tidak dapat menyertainya.
"Perlawanan ini hanya mahu membuktikan bahawa tidak semua atlet boleh bersukan dengan semua jenis sukan yang ada. Namun, Azizul membuktikan dia juga memang hebat bermain ping pong kerana berjaya mengalahkan Johan,
"Walhal,Johan adalah juara ping pong di Astro. Ini kerana Johan sering bermain ping pong sementara menunggu rakaman program TV di adakan. Apapun, kami seronok dan ingin menganjurkannya sekali lagi," katanya kepada murai.com.my.
Mengakui program ini akan dijalankan lagi pada masa akan datang, Haniff memberitahu dia amat berminat untuk mencabar Apex dan atlet yang lain dalam perlawanan yang seterusnya.
"Ini pertama kali kami menganjurkannya. Kami bermain di kawasan konti tempat kami bersiaran. Insya-Allah akan ada lagi. Mungkin selepas ini kami akan mencabar Apex dan kawannya yang lain dalam pasukan bola sepak kebangsaan.
"Kami sebenarnya tidak kisah untuk bermain ping pong dengan sesiapa saja. Apapun, kami berterima kasih kepada atlet negara yang sudi bersama kami pada penganjuran kali yang pertama ini," jelasnya.
Menyokong penjelasan Haniff, Ray yang tidak pernah bermain ping pong sebelum ini memberitahu, dia amat seronok dan bangga dapat beraksi dengan atlet negara.
"Saya tidak pernah main ping pong pun sebelum ini. Selepas bermain dengan mereka, saya rasa macam saya ni lebih handal. Saya seronok sangat kerana pengalaman sebegini tidak semua orang dapat.
"Kami akan panggil lagi atlet yang lain untuk berlawan. Ini adalah bukti sokongan kami kepada atlet negara. Kami juga mahu mereka tahu bahawa ramai yang menyokong pasukan negara dalam apa juga cabang sukan," katanya.
Berikut adalah informasi program ini:
Peserta:
Azizulhasni Awang dan Nurul Fatehah Mustapha (Skuad Berbasikal Trek Negara)
Bryan Nickson Lomas dan Leong Mun Yee (Skuad Terjun Negara)
Johan, Haniff dan Ray (Skuad JoHaRa Pagi ERA)
Saingan dan pemenang:
Saingan Pertama: Skuad Berbasikal Trek VS Skuad Terjun
Pemenang: Skuad Berbasikal Trek
Saingan Kedua: Skuad Berbasikal Trek VS Skuad JoHaRa Pagi ERA (Haniff & Ray)
Pemenang: Skuad JoHaRa Pagi ERA (Haniff & Ray)
Saingan Ketiga : Azizulhasni Awang VS Johan
Pemenang: Azizulhasni Awang
Pingat JoHaRa Ping Pong 2012:
Gangsa - Skuad Terjun
Perak - Skuad JoHaRa Pagi ERA
Emas - Skuad Berbasikal Trek










