Teks oleh Syafiqah Jalal
KUALA LUMPUR, 5 SEPT 2012: Pelakon jelita , Natasha Hudson akui dia dan suaminya, Carleed Khaza amat gembira selepas dirinya disahkan hamil 1 bulan oleh doktor pada 30 Ogos lalu.
Malah, Natasha yang baru sahaja berkahwin dengan Carleed KHaza pada 15 April lalu berkata, dia sama sekali tidak menjangka dirinya telah disahkan hamil dengan jangkamasa waktu yang agak cepat.
"Alahamdulilah, saya dan suami amat bersyukur sekali apabila saya disahkan hamil satu bulan oleh doktor pada 30 Ogos lalu. Sebelum itu saya sudah membuat pemeriksaan sendiri di rumah dan bagi mengesahkan lagi, saya terus membuat pemeriksaan lebih lanjut di klinik.
"Apa yang boleh saya katakan, suami saya antara orang yang paling gembira mendengar berita ini," katanya ketika dihubungi oleh murai.com.my
Natasha yang hamil kali kedua itu bagaimanapun telah mempunyai anak menerusi perkahwinan sebelumnya iaitu Nessa Helena yang kini berusia empat tahun.
Selain mengharapkan kesihatan bayi dalam kandungannya sihat, Natasha memberitahu dia dan suami juga telah mengidamkan cahaya mata lelaki untuk kelahiran keduanya.
"Sebenarnya saya dan suami tidak kisah apa jua jantina anak kami. Tetapi kami lebih gembira jika dikurniakan anak lelaki memandangkan kami sudah ada anak perempuan daripada perkahwinan terdahulu saya.
"Namun kami tidak mahu terlalu mengharap takut apa yang kami harapkan tidak menjadi, sebaliknya terima apa sahaja rezeki yang Allah kurniakan kepada kami nanti," jelasnya lagi.
Natasha kini sedang mengacarakan beberapa episod yang tinggal untuk program bual bicara, Santai Bersama Cikgu Sidek untuk TV Al-Hijrah.










