KL, 3 SEPTEMBER 2012: Sebelum ini Murai Batu sering kali terdengar gosip cinta dan hubungan teman tapi mesra yang terjalin antara pelakon berbulu mata bertingkat-tingkat, Rozita Che Wan bersama pelakon Oh! My English, Zain Saidin.
Dalam kerap cerita yang keluar sama ada di portal murai.com.my mahupun akhbar arus perdana, sekerap itu jugalah Rozita Che Wan menafikannya kerana menganggap hubungannya bersama Zain Saidin itu tak lebih hanya sebagai teman rapat.
Begitu akrabnya hubungan mereka, sehingga Rozita Che Wan sering menjadikan adik kepada Shasha Saidin itu sebagai tempat mengadu nasib atau menemaninya membeli-belah, apatah lagi kedua-dua anak aktres berkenaan juga sangat rapat dengan Zain Saidin.
Dalam pada mereka sering berdolak-dalih tentang status sebenar hubungan mereka berdua, nampaknya kedua-dua wajah popular berkenaan bakal memotong kek bersama.
Potong kek? Motif?
Bukannya potong kek perkahwinan tetapi mereka berdua akan tampil secara eksklusif dalam acara amal Kejohanan Kek Coklat ke-6 yang akan diadakan di pusat beli-belah Great Eastern Mall, Jalan Ampang pada 8 September iaitu Sabtu ini.
Murai Batu difahamkan, Rozita Che Wan tidak sabar untuk menanti tibanya acara amal berkenaan selepas sekian lama cuti berhari raya. Mungkin inilah masanya dia dapat bertemu peminat dan juga rakan media yang disayangi.
Malah khabarnya, Rozita Che Wan sendiri telah meminta keizinan kepada pihak penganjur untuk mengundang Zain Saidin datang ke majlis berkenaan bagi menjalankan aktiviti amal bersama bagi menjual kek untuk disumbangkan bagi tujuan mulia.
Apa yang menarik, Murai Batu dengar Rozita Che Wan bakal bersatu dengan pasukan program TV popular di Astro Ria, Propaganza untuk menjual kek coklat dari Hotel Renaissance, Kuala Lumpur kepada orang yang hadir pada majlis berkenaan.
Nampaknya bakal larislah kek jualan Rozita Che Wan pada hari berkenaan. Percayalah cakap Murai Batu ini.
Kalau tak silap Murai Batu, ramai juga selebriti popular yang akan hadir pada majlis berkenaan untuk sama-sama menjual kek coklat dari 13 hotel antarabangsa yang mengambil bahagian, di mana setiap keuntungan akan disalurkan ke tabung Chirdren Care.
Murai Batu: Terbaca kisah geram Rita Rudaini dalam sebuah akhbar mingguan semalam. Memang panas.










