KL, 28 OGOS 2012: Nama pelakon Wan Elyas Wan Abdullah barangkali tidaklah sepopular pelakon lelaki tempatan lain, misalnya seperti Remy Ishak, Iqram Dinzly dan Fizz Fairuz.
Bagaimanapun, watak yang dibawakannya dalam drama Dunia Baru iaitu Tajul amat diminati penonton setia drama ini.
Jadi, tidak hairanlah apabila Murai Batu melihat jejaka ini banyak menerima tawaran jadi hero drama di stesen TV swasta dan kerajaan dek keberkesanan membawakan watak tersebut.
Pun begitu, kekerapan wajah Elyas hanya dapat ditonton sewaktu drama dan filem Dunia Baru hangat dibicarakan saja. Yang penting sekarang ini, Murai Batu tidak lagi melihat wajah Elyas menghiasi kaca TV.
Mana pergi agaknya Elyas ya. Ada yang beritahu Murai Batu, Elyas sudah bersara dari dunia lakonan. Pada mulanya Murai Batu tidaklah mahu percaya gosip ini. Yelah, takkanlah tiada produser yang mahu ambil Elyas berlakon sedangkan lakonan sangat baik dan berkesan.
Pun begitu, selepas teman baik Murai Batu pulang beraya dari kampung, Murai Batu dapat tahu Elyas memang tidak berlakon lagi. Menurut teman Murai Batu, dia berani berkata sebegitu kerana dia baru saja terserempak dengan Elyas dalam penerbangan Malaysia Airlines (MAS).
Teman Murai Batu terkejut dan tidak menyangka akan menerima layanan dari Elyas yang kini sudah bertugas sebagai pramugara MAS.
Pada mulanya, teman Murai Batu ini seperti tidak percaya kerana penampilan Elyas sudah pun berubah. Jika sebagai pelakon, Elyas berambut kerenting tetapi sebagai pramugara, rambutnya sudah pun lurus.
Apapun, selepas penumpang lain pun turut sama perasan wajah Elyas, barulah teman Murai Batu percaya. Lebih terbukti, tag nama yang tersemat dibajunya itu turut tertera namanya.
Apa kes pun, Murai Batu bangga dengan Elyas kerana memilih kerjaya pramugara sebagai kerjaya tetap. Yang paling penting, mencari rezeki biarlah halal dan jangan menipu orang. Selamat hari raya!!!
MURAI BATU: Ada pelawak masuk parti PAS.










