Teks oleh Haswari Ali
Foto oleh Mazlan Yunos Photography
Email: ayie@astro.com.my
Twitter: @stailista
KUALA LUMPUR, 16 OGOS 2012: Jarang munculnya rekaan baju Melayu untuk jejaka yang tidak mempunyai pesak di tepi bahagian badan baju tetapi semalam kemunculan 11 selebriti popular telah membuktikan rekaan sedemikian mampu memberikan impak tersendiri.
Lihatlah saja penampilan mood hari raya daripada Shaheizy Sam, Norman Hakim, Fahrin Ahmad, Nazim Othman, Zizan Nin, Iqram Dinzly, Fizz Fairuz, Fizo Omar, Fadlan VIP, Afiq Muiz dan Que Haidar. Hebatkan?
Dari hujung rambut hingga hujung kaki, mereka dibiaskan dengan penampilan cukup moden dengan potongan baju Melayu yang terletak di bahagian dada, manakala potongan seluar mengikut bentuk kaki cukup sempurna.
Apatah lagi permainan warna vibrant dan ceria seperti biru di raja, hijau pekat, merah cili, koral jingga, dan merah bandung telah menjadi daya penarik kepada setiap satu penampilan mereka.
Bukan itu saja, pemilihan fabrik mewah berkilau iaitu sutera shantung telah memberi kesan lebih gah kepada 11 selebriti popular berkenaan sempena meraikan Aidilfitri yang akan menjelang hanya dalam beberapa hari saja lagi.
Itulah keistimewaan Baju Melayu rekaan cekak musang yang diinspirasikan Lord's Tailor yang dicipta khas buat untuk si pria idaman agar tampak segak lagi bergaya meraikan hari raya bersama sanak-saudara dan keluarga tercinta.
Melengkapkan lagi penampilan baju Melayu 11 selebriti kacak lagi bergaya berkenaan dengan gandingan samping tenunan benang dan butang mutiara dari Borneo North Pearls by Salikin Sidek senada dan seirama yang menjadi penghias kepada setiap penampilan baju Melayu mereka
Perekanya Kenny Loh berkata, tidak banyak perbezaan yang ada pada rekaan baju Melayu dari Lord's Tailor itu dengan baju Melayu biasa selain daripada ketiadaan pesak pada setiap baju berkenaan.
"Ketiadaan pesak menjadikan si pemakai lebih segak kerana rekaannya mengikut bentuk badan. Tambaha lagi ianya merupakan rekaan buat lelaki moden masa kini yang sangat teliti dengan keterampilan mereka," katanya.
Tambah Kenny lagi, pemilihan rona ceria adalah terbias daripada pemilihan fabrik pakaian itu sendiri yang telah memberikan kesan istimewa apabila disarungkan.
Katanya, pemilihan fabrik sutera shantung amat sesuai untuk aktiviti ziarah menzirahi ke rumah sanak saudara atau menghadiri rumah terbuka kerana ianya selesa dipakai, tidak panas dan lebih penting tidak mudah berpeluh.
"Nampak berkilat tetapi tidak terlalu ketara dan juga ianya lebih mewah. Lebih-lebih lagi untuk hari raya, permainan warna sangat penting," katanya yang seakan cukup arif dalam selera jejaka masa kini.






















