Teks: Razif Rosdi
Twitter: @AjiebRosdi
KUALA LUMPUR, 18 OGOS 2012: Sungguhpun baru pertama kali menyambut Aidilfitri sebagai suami isteri, Irma Hasmie nampaknya tidak terlalu ghairah membuat persiapan hari raya. Malah, pelakon dan pengacara ini menjelaskan persiapan yang dilakukan adalah biasa-biasa saja.
"Tiada apa-apa yang sangat istimewa. Cuma kami hanya akan ronda-ronda semua rumah saudara mara kami saja. Tahun ini, saya akan beraya di rumah mentua dahulu kemudian barulah ke rumah keluarga Irma. Selepas itu, kami akan balik kampung bersama di Kelantan.
"Lagipun, pada malam raya, saya akan mengacarakan sebuah program secara live di TV Al-Hijrah iaitu Syawal Satu Kemenangan. Pada malam raya kedua nanti, barulah saya bertolak pulang ke kampung halaman.
"Apapun, saya sebenarnya teringin merasakan keseronokan menyambut raya sebagai isteri. Saya tidak sabar nak menikmati momen berkenaan," kata Irma kepada murai.com.my.
Sama seperti isterinya, Redza Syah turut tidak sabar menunggu detik 1 Syawal nanti. Lebih manis lagi, suami kacak ini tidak sabar untuk menikmati juadah dari air tangan isterinya.
"Perasaan tidak sabar nak beraya dengan Irma memang ada. Saya nak feel pakai baju raya siap bersamping yang disediakan isteri saya. Saya pun tidak sabar nak kenalkan dia dengan saudara mara nanti. Ini kali pertama.
"Kami akan pulang ke Kelantan nanti yang mana kampung saya di Bachok manakala Irma pula di Kota Bharu. Lagipun kedua-dua buah rumah ini nanti akan mengadakan kenduri doa selamat. Ia lebih kurang kenduri untuk sambut menantu beserta kenduri kesyukuran dan sesi suai kenal dengan lebih rapat lagi," ujar Redza.
Meneruskan penjelasan, Redza memberitahu tidak menerima sebarang usikan dari kawan-kawan selepas dirinya dikenali sebagai suami kepada artis popular.
"Syukur Alhamdulillah, setakat ini saya tidak ada menerima sebarang usikan dari kawan. Malah, mereka lebih banyak menjemput kami untuk datang ke rumah berhari raya. Mereka juga memberikan komen yang positif.
"Terus-terang, saya pun tidak sabar nak makan juadah hari raya yang disediakan Irma. Menu apa saya tidak kisah. Janji dia yang masak. Lagipun, saya ni jenis pemakan orangnya. Suka makan apa saja yang dihidangkan," jelas Redza.
Sementara itu, Irma yang sebelum ini kerap membuat kuih raya sendiri di zaman solonya memberitahu, dia tidak punya kesempatan untuk membuat sebegitu sepanjang ramadan tahun ini.
" Pada mulanya, saya ingatkan nak berehat saja di bulan puasa. Tetapi saya banyak menerima undangan majlis berbuka dan forum. Insya-Allah, kami akan cuba buat open house pada penghujung Syawal nanti. Saya rasa buat open house dengan famili lagi senang," kata Irma.










