Teks oleh Syafiqah Jalal
Foto oleh Mazlan Yunos Photography
KUALA LUMPUR, 20 OGOS 2012: Aktor kacak, Zul Ariffin akui terpaksa berpantang daripada memakan makanan juadah berminyak dan berkolestrol tinggi pada hari raya.
Malah Zul yang sudah mula bercuti daripada menerima apa-apa tawaran berlakon sejak dua bulan lalu itu memberitahu dia kini sedang sibuk ke gim untuk membina badan.
Namun Zul menjelaskan dia melakukan semua itu hanya kerana ingin mempersiapkan diri dengan filem terbarunya.
"Sebenarnya sekarang ini saya sedang bercuti selama dua bulan daripada menjalani apa jua penggambaran sejak sebelum puasa lagi. Ini kerana saya mahu mempersiapkan diri untuk filem terbaru berbentuk aksi.
"Jadi bagi nampak badan saya sesuai dengan filem aksi ini saya sekarang banyak luangkan masa di gim untuk berlatih beberapa aksi seni mempertahankan diri serta diet.
"Disebabkan itu, saya juga terlalu menjaga pemakanan sudah lebih sebulan, jadi tidak mungkin saya akan mensia-siakan diet saya semasa Raya ini. Walaupun tidak tahan dengan godaan juadah raya, tapi saya terpaksa juga berpantang.
"Selain mahu mendapatkan bentuk badan yang sesuai, saya juga mahu memastikan lebih berstamina selepas ini. Jadi saya banyak habiskan masa kira-kira tiga jam di gim. Untuk bulan puasa, saya pegi sebelah malam.
"Filem ini memang filem yang saya nanti-nantikan kerana ia menjanjikan watak idaman saya selama ini. Setakat ini saya sudah berjaya turunkan berat badan sebanyak 10 kg dalam masa sebulan," katanya kepada murai.com.my
Walau bagaimana pun, Zul enggan mendedahkan terperinci mengenai filem terbitan Astro Shaw Sdn Bdh itu kerana menurutnya dia masih belum menandatangi sebarang kontrak. Sebaliknya hanya melibatkan perjanjian mulut dengan pengarah filem itu.
"Buat masa sekarang, saya masih tidak boleh beritahu lebih detail mengenai filem ini kerana belum tandatangani sebarang kontrak. Kami hanya bincang mulut. Bagaimanapun, pengarah baru itu sudah menjanjikan watak utama untuk saya. Sebab itu saya sanggup tolak semua tawaran lain dan buat persiapan awal.
"Saya bimbang kalau saya terima tawaran lain, ia akan bertindih dengan jadual penggambaran filem itu nanti. Maklumlah kalau untuk drama bersiri, tempoh penggambarannya panjang. Jadi lebih baik saya tunggu penggambaran filem ini yang sepatutnya bermula September hadapan.
"Saya sanggup buat begini sebab saya memang mahukan projek ini. Ini pertama kali saya ditawarkan watak utama untuk filem dan saya mahu buat yang terbaik," luah Zul
Zul yang pulang ke Taiping, Perak untuk berhari Raya telah menjalani penggambaran filem terakhir, Bikers Kental sebelum bercuti panjang.










