Teks oleh Kheme Rosly
khemerosly@yahoo.com
KUALA LUMPUR, 27 OGOS 2012: Pelakon berdarah kacukan Diana Danielle atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 21, memberitahu setiapkali menjelangnya Aidilfitri, dia pasti akan merindui arwah datuknya yang telah pulang ke rahmatullah beberapa tahun yang lalu.
Selepas pemergian arwah datuknya yang digelar 'Tok Wan' itu, suasana dan kemeriahan di pagi hari raya seperti berkurangan serta tidak begitu ceria. Namun begitu semangat Diana dan ibunya untuk berhari raya kini terisi dengan kehadiran adiknya, Halley Hayden yang kini sudah berusia 4 tahun.
"Kalau dahulu ketika Tok Wan masih ada, pada setiap kali hari raya saya pasti tidak sabar untuk pulang ke kampung bertemunya. Tetapi semenjak ketiadaannya kira-kira 6 tahun lepas, kemanisan menyambut Aidilfitri seperti tidak terasa.
"Kini saya dan mama kembali bersemangat untuk menyambut Syawal kerana adik saya, Halley Hayden telah pun besar dan persiapan untuk menyambut raya itu lebih terasa kerana kehadirannya.
"Maklumlah kalau budak-budak sebut sahaja pasal hari raya mesti seronok dan kini saya dan mama pun turut sama merasakan perkara yang sama. Kehadiran Halley dalam hidup saya dan mama seperti sebuah keajaiban kerana kalau dahulu saya hanya ada mama sahaja, kini Halley yang sudah besar melengkapkan lagi kehidupan saya dan mama,"ujar Diana mengenai arwah datuk dan adik barunya itu.
Berbicara pasal persiapan raya pula, Diana berkata, dia lebih selesa bersederhana dari segi berbelanja. Manakala destinasi Aidilfitrinya tahun ini sudah semestinya di kampung ibunya di Perak dan jika berkesempatan dia akan ke Kedah, rumah keluarga Farid Kamil.
"Persiapan hari raya saya seperti biasa ringkas sahaja. Tidak terlalu berlebih-lebih, kalau ada pun lebih kepada Halley. Cuti raya tahun ini cuma 5 hari dan mungkin saya akan beraya di Perak selama tiga hari atau mungkin juga lebih, bergantung kepada keadaan.
"Tahun lepas saya sudah pernah beraya di rumah keluarga Farid kerana dia mengadakan sedikit kenduri dan menjemput saya beraya di Alor Star. Insya Allah jika berkesempatan tahun ini saya akan kesana sekali lagi beraya bersama Farid dan keluarganya.
"Baju raya pula saya lebih suka memilih untuk memakai yang selesa seperti baju kurung cotton kerana selesa dan mudah untuk dijaga. Lagi pula ia nampak sopan dan decent bagi saya.
"Satu lagi perkara kalau cakap pasal raya adalah makanannya. Saya sanggup untuk tidak makan rendang mahupun lemang pada ramadan atau waktu lain kerana ingin menikmati juadah istimewa tersebut pada pagi 1 Syawal sebab feelnya lain. Kalau biskut pula saya sukakan tart nenas dan cornflakes,"tambahnya lagi.










