Mizz Nina Dan Noh Teruja Sambut Syawal Di Miri

ramadhan & raya 2012 | Cerita R&R

Mizz Nina Dan Noh Teruja Sambut Syawal Di Miri

addthis kongsi icon

Teks oleh Kheme Rosly

khemerosly@yahoo.com

KUALA LUMPUR, 20 OGOS 2012: Jika anda pengikut setia kepada pasangan Noh dan Mizz Nina pasti anda tahu dan peka dengan kesibukan kedua mereka dalam mengukuhkan nama dalam industri hiburan tempatan dan antarabangsa.

Sering berjauhan atas urusan kerja namun kemesraan diantara mereka yang dikongsi bersama peminat melalui laman sosial khususnya menjadikan mereka tidak dilanda sebarang gosip mahupun cerita yang tidak elok.

Tahun ini merupakan tahun kedua pasangan bahagia ini berhari raya sebagai suami isteri selepas diijabkabulkan pada 1 Julai tahun lalu. Noh Salleh daripada kumpulan Hujan dan Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman akan pulang berhari raya ke kampung halaman Noh di Miri, Sarawak.

"Ini merupakan kali pertama saya akan menyambut satu Syawal bersama keluarga mertua dan kali pertama juga berjauhan dengan keluarga saya.

"Tetapi kerana status saya sebagai isteri kepada Noh jadi keluarga saya faham kerana tahun lalu kami berdua sudah berhari raya di Kuala Lumpur sebelum pulang ke Miri dan Kuching untuk bersama-sama keluarga Noh.

"Perasaan pula lebih kepada excited kerana saya belum pernah menyambut 1 Syawal bersama sanak saudara Noh dan teruja untuk merasakan pengalaman baru meraikan Aidilfitri di Miri," ujar penyanyi ini ketika ditemui ketika majlis malam gala Hantu Gangster yang menampilkan Mizz Nina dan Noh sebagai cameo dalam filem tersebut.

Manakala Noh pula nyata gembira kerana dapat berhari raya bersama famili pada pagi Aidilfitri. Menurutnya mereka akan pulang awal ke Miri sebelum ke Kuching dan pulang semula ke Kuala Lumpur seminggu selepas itu.

"Tahun ini saya dan Nina akan beraya di Miri dan kami akan pulang dua hari sebelum hari raya dan menghabiskan masa empat hari di kampung saya sebelum terbang ke Kuching untuk beraya selama tiga hari di sana.

"Di mana-mana pun kita berada, persiapan dan perjalanan untuk pulang berhari raya ke kampung merupakan pengalaman yang menyeronokkan dan bagi saya pula inilah masa untuk saya dan isteri bertemu ahli keluarga yang ada di Sarawak terutamanya,"ujar vokalis kumpulan Indie, Hujan ini.

Pasangan ini juga berkongsi sedikit persiapan mereka untuk menyambut Syawal nan mulia dan juadah kegemaran masing-masing, dan bagi Mizz Nina dia kini menggemari salah satu makanan popular daripada Sarawak iaitu Laksa Sarawak.

"Tahun ini saya ada menempah dua pasang baju kurung daripada pereka fesyen pilihan saya iaitu Lady Jane. Warna pula saya memilih warna lilac dan turquoise dan Noh juga akan menyarungkan baju melayu dari warna yang sama.

"Kalau cakap pasal juadah utama pada hari raya sudah semestinya lemang, rendang dan lontong tidak terkecuali tetapi saya tidak sabar sebenarnya untuk menjamah Laksa Sarawak di negeri Sarawak,"ujar Mizz Nina berseloroh.

Pasangan ini akan menghabiskan cuti hari raya mereka selama seminggu di Sarawak sebelum pulang ke Kuala Lumpur dan akan berlepas ke Bali untuk bercuti kerana menurut pasangan ini, inilah masa untuk mereka menghabiskan masa bersama.

"Saya pun dah lama tidak menjejakkan kaki ke pulau Bali dan kami berdua juga sudah lama tidak menghabiskan masa bersama, jadi sebelum kembali bekerja kami memilih untuk bercuti setelah puas beraya.

"Saya akan mula sibuk dengan single terbaru yang akan muncul tidak lama dan beberapa penggambaran bagi klip video manakala Noh juga akan sibuk dengan promosi bagi album terbarunya Sang Enemy,"tambah Mizz Nina lagi.

Komen-Komen | 0

Nama:


Komen Anda:


Aksara yang tinggal: