Teks oleh Haswari Ali
Email: ayie@astro.com.my
Twitter:@Stailista
KUALA LUMPUR, 10 OGOS 2012: Kontrak sebagai wajah untuk rangkaian produk kecantikan Shiseido yang diikat sejak Mac lalu, sekali lagi memihak kepada penyanyi popular, Misha Omar apabila bakal kekal dengan jenama berkenaan untuk satu musim lagi.
Ditemui portal murai.com.my baru-baru ini, Misha Omar berkata dia sangat gembira apabila pihak Shiseido memberi kepercayaan yang besar kepadanya untuk menyambung semula kontrak bersama-sama produk dari Jepun itu.
"InsyaAllah kalau tidak ada aral melintang saya akan sekali lagi menjadi wajah Shiseido dan kontrak akan disambung semula selepas September ini.
"Saya melihat perkara ini dari sudut yang positif kerana ianya dapat memberi kelebihan untuk saya menjaga penampilan diri dengan lebih baik. Mungkin juga kerana keterampilan saya membuka hati Shiseido untuk menyambung kontrak saya.
"Alhamdulillah sebagai duta produk ini, saya sering didatangi peminat yang datang melihat saya dari dekat yang bukan saja terpikat dengan keterampilan saya, malahan juga kulit wajah saya," katanya.
Tambah Misha Omar, bagi meneruskan usahanya sebagai wajah Shiseido dia perlu menjaga bentuk badannya supaya kekal langsing dan cantik selain menjaga pemakanan yang sihat.
"Saya sangat gembira kerana sejak bersama-sama Shiseido, orang tidak mudah lupakan saya yang masih aktif dalam industri seni.
"Malah tawaran sebagai pelakon dan juga persembahan pentas juga semakin banyak," katanya yang akan muncul dengan dua drama sempena Hari Raya iaitu Bonus Hari Raya,
Untung Atas Angin dan tidak ketinggalan persembahan nyanyian Pesona Aidilfitri untuk tayangan RTM.
Sejak menjadi wajah Shiseido, dia kerap tampil dalam majlis pelancaran produk terbaru jenama berkenaan dengan penampilan tersendiri lagi menawan.
Ia sekaligus menjadikan setiap majlis yang dianjurkan Shiseido lebih berseri lagi sempurna dengan kehadiran penyanyi kelahiran Cik Siti Wan Kembang yang akan melangsungkan perkahwinan tahun depan.







.jpg)
.jpg)
.jpg)
