Kelab Bikers SMI Puji Program Yok Sahur

ramadhan & raya 2012 | Cerita R&R

Kelab Bikers SMI Puji Program Yok Sahur

addthis kongsi icon

Teks oleh Kheme Rosly

khemerosly@yahoo.com

Foto oleh Mazlan Yunos Photography

KUALA LUMPUR, 8 OGOS 2012: Kejayaan Yok Sahur 5 tahun ini tidak akan terlaksana tanpa penglibatan Superbike Motortrade International Sdn Bhd (SMI) kerana telah sanggup memberikan sokongan penuh terhadap program amal yang diadakan di Rumah Anak Yatim Darul Izzah, Bandar Baru Bangi baru-baru ini.

Selain menjadi penaja, badan korporat yang terkenal dengan dunia permotoran berkuasa tinggi ini, telah sanggup untuk turut padang bersama kira-kira 30 ahli kelab yang telah diketuai oleh CEO SMI sendiri , Encik Suhaimi Abdul Jalil.

Ketika diwawancara portal Murai, Suhaimi Abdul Jalil berkata, kelab motor SMI sering terlibat dengan acara amal sebegini namun menjadi penaja rasmi atau sebahagian daripada penganjur untuk program seperti Yok Sahur, memang belum pernah.

"Kelab kami sering terlibat dengan acara amal di seluruh Lembah Kelang dan kawasan berdekatan tetapi Yok Sahur adalah acara amal pertama menyaksikan penglibatan kami sebagai penaja serta penganjur bersama.

"Atas sebab itu, kami sanggup memberikan sokongan yang penuh, Lebih-lebih lagi, Yok Sahur adalah sebuah program amal yang tampil dengan konsep tersendiri dan lain dari yang lain.

"Selalunya kalau bulan mulia sebegini kita akan dihujani dengan undangan untuk berbuka puasa tetapi acara bersahur memang jarang sekali diadakan dan bertemu dengan mereka yang kurang berkemampuan seperti adik-adik ini memberikan kami ruang untuk berkongsi kegembiraan dan bersama-sama memanfaatkan bulan ramadan yang mulia ini.

"Saya mengharapkan program seperti ini akan diteruskan dan juga dapat disertai oleh badan-badan korporat yang lain. Insya Allah tak kira tempat atau lokasi , jika kami berkesempatan, kami bersama ahli-ahli kelab sanggup datang menunggan motor. Kami akan turut serta tidak kira sebagai penaja atau tidak," ujarnya yang tiba dengan lebih kurang 30 ahli kelabnya.

Menurut Suhaimi juga, ramai rakan artis yang menunjukkan minat serta pernah turut serta dalam acara-acara atau program yang mereka sendiri anjurkan . Secara tidak langsung, ia akan memberikan pendedahan kepada orang ramai tujuan sebenar kelab seperti ini diadakan.

"Ada rakan artis yang terkenal dengan minat dalam motor berkuasa tinggi. Antaranya Fauziah Latiff, Alif Satar serta Nabil Raja Lawak. Mereka pernah mengikuti program yang kami anjurkan ini. Malah, Mamat Sepah yang baru saya temui di Yok Sahur turut menunjukkan minat yang sama untuk menyertai sebarang program sebegini.

"Kami memang mahu mewar-warkan perkara ini dan mengajak para selebriti untuk turut serta dalam acara sebegini dab memberi peluang kepada mereka melakukan aktiviti kegemaran mereka. Seperti malam ini, ia memberi peluang kepada adik-adik di rumah anak yatim ini untuk mendekati selebriti yang mungkin mereka tidak berpeluang untuk berjumpa jika tiada sebarang program seperti ini dijalankan,"tambahnya lagi.

Pada malam itu, pihak Superbike Motortrade International Sdn Bhd (SMI) telah menghulurkan bantuan kepada Rumah Anak Yatim Darul Izzah dan dalam masa yang sama Suhaimi bersama Business Development Director of SMI, Encik Haizan Muhammad telah memberikan sumbangan duit raya kepada penghuni rumah berkenaan.

Komen-Komen | 1

Nama:


Komen Anda:


Aksara yang tinggal:





semoga di berikan hidayah untuk kita semua
rider kecik - 8-Aug-2012