Teks oleh Haswari Ali
Foto oleh H&M MALAYSIA
Email: ayie@astro.com.my
Twitter:@Stailista
KUALA LUMPUR, 6 OGOS 2012:Benar, seperti yang dijanjikan bulan September ini bakal menjadi saksi penyatuan ramai fesyenista dan penggemar fesyen tanah air apabila butik fesyen terkenal antarabangsa, H&M bakal membuka tirainya.
Kini teka-teki tarikh sebenar pembukaan H&M pertama di negara ini terjawab apabila memilih tanggal 22 September depan sebagai tarikh keramat yang dinanti-nantikan ramai muda-mudi dan individu mahu bergaya hebat.
Premis pertama H&M di pusat beli-belah Lot 10, Jalan Bukit Bintang secara rasminya akan beroperasi pada tanggal berkenaan selepas menjalani proses penyelenggaraan dan pengubah suaian sejak penghujung tahun lalu.
Pengurus Besar H&M Greater China, Singapura dan Malaysia, Lex Keijser berkata pihaknya begitu teruja dengan pembukaan H&M di negara ini bagi mengembangkan perniagaan di pasaran Asia Tenggara.
" H&M sentiasa menekankan fesyen dan kualiti pada harga yang terbaik dan memang hajat kami untuk membawa sesuatu yang baru dan menarik ke Kuala Lumpur," kata Lex Keijser dalam satu kenyataan akhbar.
Premis pertama H&M akan dibuka di Lot 10, dengan keluasan kira-kira 36,000 kaki persegi meliputi tiga aras ruang runcit utama, stor konsep penuh yang pertama dengan menawarkan pelbagai rupa serta aliran fesyen mampu milik yang terkini tanpa mengetepikan nilai kualiti, rekaan dan gaya.
Sempena pembukaan stor sulung di Lot 10, H&M akan terus berkembang di negara ini dengan pembukaan butik kedua H&M yang akan dibuka di lokasi runcit terbaru, Setia City Mall di Shah Alam dalam musim luruh tahun ini.







.jpg)
.jpg)
.jpg)
