Teks oleh Kheme Rosly
khemerosly@yahoo.com
Foto oleh Mazlan Yunos Photography
KUALA LUMPUR, 6 JULAI 2012: Tidak semua insan dikurniakan nasib yang sama, ada yang bertuah ada pula yang sebaliknya. Namun, itulah peranan dan tanggungjawab yang diambil portal Murai dalam menjalankan aktiviti CSR (Corporate Social Responsibility), Yok Sahur yang diadakan saban tahun pada bulan Ramadan.
Dianjurkan buat kali yang ke-5, Yok Sahur yang telah mendapat tajaan daripada Superbike Motortrade International (SMI) pada tahun ini telah diadakan di Rumah Anak Yatim Darul Izzah yang terletak di Bandar Baru Bangi.
Seramai 27 penghuni Rumah Anak Yatim Darul Izzah telah menerima kunjungan daripada sekumpulan selebriti tempatan seperti Datuk Dr Fazley, Tasha Shilla, Alif Satar, Farawahida, Ifa Raziah, Roslan Shah, Fazli Zainal, Hayad, Asmidar, Hila, Nas Adilla, Puteri Caroline, Sabhi Saddhi, Aishah AF, Zizie AF, Amir Jahari, kumpulan VIP serta KLangit sebagai kejutan untuk mereka.
Malah, program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran 30 bikers yang menunggang motor berkuasa tinggi yang mewakili pihak SMI, sekumpulan penyokong setia portal Murai - GengMurai serta pihak media cetak, elektronik dan online.
Bermula kira-kira jam 12 tengah malam, program Yok Sahur telah dimulakan dengan sesi mengejutkan anak-anak Darul Izzah oleh sekumpulan selebriti ini di setiap bilik tidur masing-masing, diikuti dengan bacaan doa yang telah disempurnakan salah seorang penghuninya iaitu adik Mohd Aniq Hafizi serta ucapan alu-aluan Ketua Editor Murai & Astro Gempak, Ellyna Ali.
Ucapan yang seterusnya telah dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif SMI, Suhaimi Abdul Jalil serta Ustaz Salahuddin yang mewakili pihak Darul Izzah dan ia kemudian diteruskan dengan acara wajib iaitu Marhaban yang diketuai oleh editor Murai, Ajieb bersama-sama artis lelaki yang lain sebelum pentas diambil-alih oleh anak-anak Darul Izzah yang kemudian menyampaikan nasyid Asma Ul Husna.
Beberapa aktiviti sepertu bersahur beramai-ramai, persembahan nyanyian daripada selebriti dan beberapa permainan menarik turut diadakan untuk menghiburkan penghuni Darul Izzah ini.
Namun, acara kemuncak pada malam itu lebih tertumpu kepada demonstrasi masakan daripada juara Masterchef Selebriti Malaysia yang pertama iaitu Datuk Dr Fazley yang telah menyediakan hidangan pencuci mulut, Oreo Meringue Pastry Cream Custard Edible Flower.
Sebaik saja Datuk Dr Fazley memulakan tugasnya, ramai yang berusaha untuk mendekati serta mengerumuni personaliti ini kerana mahu melihat bagaimana dia menyediakan juadahnya itu dengan menggunakan bahan campuran bunga-bungaan yang berwarna-warni.
Beberapa penyanyi berbakat besar seperti Asmidar, VIP, Amir Jahari dan Klangit pula tampil membuat persembahan. Masing-masing dengan stail yang tersendiri, Asmidar dengan lagu popnya, VIP (dance music), Amir Jahari (pop folk) dan Klangit (modern rock).
Menariknya, juadah yang disajikan untuk semua tetamu serta penghuni Rumah Darul Izzah telah disediakan oleh sebuah rumah kebajikan yang lain iaitu Rumah Titian Kasih.
Editor Murai, Syafiqah Jalal dan Kheme Rosly telah bertindak sebagai pengurusi majlis. Manakala, Detektif Stailista, Ayie serta pengacara Apa Kata M, Ajieb pula telah mengendalikan segmen aktiviti permainan di atas pentas.
Antara permainan yang diadakan pada pagi itu adalah Spontan Sahur dan mereka fesyen menggunakan suratkhabar lama. Kedua-dua permainan ini mendapat perhatian daripada tetamu yang hadir.
Pujian harus diberikan kepada selebriti yang hadir kerana sanggup meluangkan masa dan bermesra dengan semua penghuni rumah anak yatim tersebut terutamanya Tasha Shilla, Alif Satar, Ifa Raziah, Datuk Dr Fazley, Roslan Shah dan Fazli Zainal.
Di awal majlis, Rumah Darul Izzah telah dikejutkan dengan bunyian deruman geng Bikers daripada SMI sendiri serta Mamat Sepah yang turut hadir sama bersama kumpulan bikersnya. Deruman motor berkuasa tinggi mereka telah memecah kesunyian di perkarangan rumah anak yatim Darul Izzah tersebut.
Selain SMI, Yok Sahur 5 kali ini turut mendapat tajaan daripada Mylaunchpad, Maxis Zalora, DXI Enterprise, Thames De Services Sdn Bhd, Unique Arena Sdn Bhd, Nonsto Power Sdn Bhd, Translite Electric Sdn Bhd dan United U-Li Sdn Bhd.

















