Teks oleh Syafiqah Jalal
Foto oleh Mazlan Yunos Photography
KUALA LUMPUR, 7 OGOS 2012: Demi kerana isteri tercinta Farahin Romli atau Farah Lee, pengacara dan penerbit program, Ally Iskandar akui bakal menyambut Aildilfitri di kampungnya yang terletak di Terengganu, selepas 10 tahun tidak berpeluang berbuat demikian.
Malah, Aildilfitri ini merupakan kali pertama dia mengambil cuti selama seminggu, semata-mata untuk menyambut hari raya bersama keluarga dan isterinya yang juga penuntut jurusan Kejuruteraan Mekanikal.
Ally Iskandar berkata, dia sudah lebih awal memberitahu pihak pengurusannya yang dia akan mengambil cuti raya jika dia sudah berkahwin kerana sebelum ini dia sering bertugas pada hari raya pertama.
"Sebenarnya sudah 10 tahun saya tidak menyambut hari raya secara proper di kampung kerana sebelum ini saya hanya bekerja dan hanya menumpukan hal kerja serta suka habiskan masa di tempat kerja sahaja.
"Tetapi selepas berkahwin, daripada awal lagi saya sudah memberitahu pihak pengurusan supaya membenarkan saya untuk bercuti selama seminggu untuk menyambut hari raya.
"Lagipun ini tahun pertama saya berkahwin, jadi lebih baiklah masa raya ini, saya mengeratkan lagi hubungan kekeluargaaan antara dua belah pihak," katanya kepada murai.com.my yang ditemui selepas rakaman Mentor 6 Raya di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, baru-baru ini.
Ally dan isteri akan beraya di rumah keluarganya terlebih dahulu pada hari raya pertama dan berhari raya ke rumah mertuanya pada hari raya kedua yang juga turut terletak di Terengganu.
Pertama kali menjalani ibadah puasa bersama isteri tercinta, Ally Iskandar bersyukur kerana dapat bersama Farah Lee yang kebetulan berada di Malaysia dan sedang bercuti semester dari Universiti INHA, Korea sehingga Septemberi ini.
"Sejak awal Julai lagi, Farah sudah bercuti dan bersama saya sepenuh masa. Saya rasa seronok sangat kerana dapat belaian seorang isteri selama dia bercuti ini. Rasa bagai jatuh cinta semula pula kerana selepas berkahwin kami tiada peluang masa bersama yang panjang seperti sekarang dan inilah masanya untuk kami berkenalan dan bercinta selepas berkahwin.
"Lebih menyeronokkan lagi, bila raya kelak, saya dapat sambut bersama-sama dengannya. Saya juga telah cuba memanfaatkan lebih banyak masa bersama dengannya, supaya dia tidak akan berasa bosan semasa cuti ini," beritahunya yang mula membawa isterinya ketika bekerja.
Sementara itu, Farah Lee yang turut bersama Ally ketika itu memberitahu, dia gembira kerana dilayan seperti puteri raja oleh Ally Iskandar sepanjang bercuti.
"Alhamdulilah dia memang seorang suami yang baik dan harap-harap selepas ini, ianya akan berpanjangan. Malah, saya rasa sentiasa selamat di sampingnya yang sentiasa ada melindungi saya," luahnya ringkas.
Ally dan Farah telah selamat diijabkabulkan pada 20 Januari lalu di dalam majlis yang telah berlangsung secara sederhana di Masjid Kristal, Kuala Terengganu.





.jpg)




