KUALA LUMPUR, 5 OGOS 2012: Pengacara Apa Kata M (AKM), Ajieb Rosdi terpilih untuk diwawancara secara langsung dari stesen radio berbahasa Inggeris Korea Selatan iaitu Radio Arirang. Sesi temubual itu telah pun disiarkan pada 31 Julai lalu pada jam 5 pagi waktu tempatan yang mana Ajieb telah ditanya beberapa soalan mengenai kariernya di sini oleh Dj Jenny.
Menerusi perbualan tersebut, Ajieb turut dilontarkan soalan mengenai sukan Olimpik yang menjadi bualan ramai pendengar setia radio ini.
Lebih membanggakan, apabila Ajieb turut bercerita mengenai sokongan rakyat Malaysia terhadap penglibatan Dato' Lee Chong Wei di Sukan Olimpik, yang mana DJ Jenny turut mengakui bahawa nama pemain badminton negara tersebut sememangnya sering menjadi bualan hangat serta sebutan di kalangan peminat sukan badminton di Korea Selatan.
Difahamkan, pemilihan Ajieb untuk ditemuramah disebabkan pengacara ini pernah hadir ke stesen radio berkenaan untuk menjengah cara penyampai radio di sana bekerja, misalnya seperti Adrien Lee yang kini popular mengacarakan program hiburan di Korea Selatan.
Pada kebiasaannya, Jenny akan memilih tetamu untuk diwawancara dalam segmennya itu di kalangan penngiat seni Korea Selatan. Bagaimanapun, menurut Jenny, Ajieb merupakan personaliti pertama dari Malaysia yang telah dipilih untuk berborak secara langsung bersamanya.
Selain mengulas lanjut mengenai kerjaya dan sukan olimpik, Jenny turut meminta pendapat Ajieb tentang fenomena K-Pop (Korean Pop) yang berlaku di Malaysia.
Arirang Radio TV merupakan sebuah stesen TV dan radio Inggeris popular di Seoul Korea. Stesen radio ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dan juga boleh didengari sesiapa saja secara online.
Jikalau di Malaysia, Arirang Radio dilabelkan sama seperti Hitz.FM yang mana Jenny juga adalah penyampai radio yang mengendalikan segmen pagi seperti JJ & Ean.










