Teks oleh Haswari Ali
Email: ayie@astro.com.my
Twitter: @Stailista
KUALA LUMPUR, 2 OGOS 2012: Tidak pernah terjangkau di benak fikiran untuk sampai ke angkasa raya yang dihiasi dengan pelbagai jenis planet berwarna-warni menceriakan lagi gemerlapan kedipan bintang kecil.
Inspirasi glamor bak bidadari dari angkasa diilhamkan jenama alat solek M.A.C dengan memperkenalkan koleksi Heavenly Creature yang terdiri daripada beberapa asas solekan seperti pembayang mata, pemerah pipi, gincu bibir, maskara dan juga penyudah solekan wajah.
Bukan itu saja, koleksi yang sudahpun berada di pasaran itu juga turut menampilkan pembersih wajah, gel pelembab wajah dan juga krim mata bagi menghasilkan kesan maksimum pada solekan wajah.
Keistimewaan koleksi kali ini bukan saja terletak pada hasilnya semata-mata, malahan juga pada tekstur setiap produk itu sendiri terutama pembayang mata dan pemerah pipi yang ditampilkan bak planet baru di alam semesta.
Sapukan setiap satunya, pasti akan memberikan simbahan warna mempersona yang terhasil daripada kombinasi warna tidak terjangkau.
Oleskan salah satu daripada lima warna gincu bibir koleksi Heavenly Creature, sama ada warna peace berkrim, merah jambu mutiara atau merah bandung membara, pasti akan membuatkan sesiapa saja memandang terpesona.
Itu belum lagi dicalitkan salah satu daripada Sembilan jenis pembayang mata yang menggunakan nama planet atau penjaga galaksi seperti Neo Nebula, Universal Appeal, Bright Moon dan banyak lagi. Anda pasti tertarik dan juga menarik.
Buat kesekian kalinya, M.A.C berbesar hati memperkenalkan produk penjagaan wajah yang diperkaya dengan bahan mineral semulajadi untuk menjaga kulit muka agar sentiasa sihat sebelum dan selepas menggunakan produk kosmetik yang lain.
Bagi yang masih tercari-cari berus alat solek yang sesuai, jenama dipercayai ramai ini tampil denga tiga saiz berus yang diperbuat dari bulu fiber dengan harga berpatutan.







.jpg)
.jpg)
.jpg)
