Teks oleh Haswari Ali
Email: ayie@astro.com.my
Twitter:@Stailista
KUALA LUMPUR, 1 Ogos 2012: Meskipun berasal dari negara kangaroo, Australia namun untuk musim ini jenama fesyen Orotan tidak mahu ketinggalan meraikan warna-warni kemeriahan Amerika Selatan untuk koleksi terbarunya.
Simbahan rona terang benderang, cetakan berirama dan rekaan mempersona menjadi permainan pada setiap aksesori kontemporari Oroton seperti tas tangan gantung atau genggam, rantai leher mahupun gelang tangan.
Jika clutch di genggaman sudah cukup bergaya dengan rekaan unik dengan simbahan warna mencuri mata memandang, apa kata simpan di dalamnya bekas penyimpan syiling berinspirasikan buah-buahan yang sememangnya mencuit hati.
Unsur neon dan kesegaran mata memandang diterapkan Oroton sesuai dengan kesibukan bandaraya Mexico diseimbangkan pula bersama warna semulajadi seperti kelabu cerah, kuning kunyit dan juga permainan kulit ular.
Fokus Orotan untuk musim ini juga tidak terhad pada tas tangan mahupun aksesori kerana jenama yang mula dikenali sejak era30-an itu turut menyenaraikan rekaan pakaian untuk golongan hawa yang selesa lagi bergaya.
Kehadiran sandal, beg selimpang dan juga tali pinggan berkulit menjadikan penampilan si feminin bukan saja terkini, tetapi juga glamor apatah lagi bila ditambah dengan rantai, cincin mahupun perhias pergelangan tangan.
Si jejaka pula pasti terkesima dengan pilihan aksesori kasual mahupun ke pejabat yang kebanyakanyannya diperbuat daripada material kulit lembu untuk memberikan kesempurnaan dalam setiap penampilan.
Untuk tampak lebih mewah dan glamor bak bintang ternama, Oroton turut memperkenalkan clutch edisi terhad yang disimbahi dengan kemilau lebih 2,000 batu penyeri Swarovski yang diilhamkan sempena pembukaan butik jenama itu di pusat berli-belah tersohor negara, Pavilion.
Dibuat dengan menggunakan tangan, clutch acara malam edisi terhad ini dibuat jauh dari negara Jerman dan cukup eksklusif kerana hanya ada 10 ilham serupa di seluruh dunia.














.jpg)
.jpg)
.jpg)
