KL, 31 JULAI 2012: Salam ramadan yang ke-11 Murai Batu ucapkan kepada anda pembaca portal Murai yang sentiasa menyokong murai.com.my. Maklumlah di bulan mulia ini cerita-cerita panas dan gosip pun kena kurangkan sedikit, maklumlah tak mahu buat dosa kering kononnya. Eh?
Tetapi ini ada satu cerita kurang manis yang Murai Batu dengar baru-baru ini. Mulanya rasa macam tidak mahu berceritakan pasal hal ini tapi rasanya perlu juga untuk menyedarkan bahawa di bulan ramadan ini kita perlu bersabar dan jangan cepat melenting.
Ceritanya berlaku di sebuah majlis berbuka puasa bersama sebuah pertubuhan artis yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur. Majlis berkenaan tidaklah terlalu besar mana tetapi kerana ia diadakan di tempat berbuka puasa jadi ramai yang hadir dan dalam waktu yang sama ada anak yatim yang turut diundang berbuka di situ.
Pada mulanya ada sedikit kekeliruan dalam menentukan tempat duduk. Menurut teman Murai Batu yang kebetulan turut berada di sana, dia sendiri pun telah diminta beberapa kali untuk berpindah meja sehingga dia tidak tahu di mana tempat duduk sebenarnya. Manakala artis ditempatkan di satu meja yang khas dan para pengurus dan PA artis di meja sebelahnya.
Ketika itu ada seorang pengurus artis ini duduk bersama artisnya di meja artis. Pada masa dia meninggalkan meja untuk mengambil makanan, ada artis lain yang duduk di tempatnya itu.
Dia yang kembali semula ke meja, melihat tempatnya telah diambil artis lain. melihat keadaan tersebut, penganjur yang juga temannya itu dengan nada bergurau berkata, tempat itu hanya untuk artis dan yang bukan artis boleh ke meja sebelah. Namun gurauan tersebut nampaknya telah disalah ertikan.
Pengurus artis tersebut telah menghempaskan makanan dan air yang diambilnya itu ke atas meja tersebut sehingga tertumpah, malah dia juga turut mengajak artis yang dibawanya untuk beredar daripada majlis tersebut sambil memarahi temannya yang bergurau itu tadi.
Artis dan hadirin yang lain terpinga-pinga melihat kejadianyang tersebut, apatah lagi bial ianya berlaku beberapa minit sebelum masuknya waktu berbuka. Namun begitu, majlis diteruskan seperti biasa.
Tetapi Murai Batu hairan juga, kalau sudah lama menjadi kawan tidakkah pengurus itu tidak tahu yang temannya itu hanya bergurau? Dan kalau pun dia terasa sangat dengan kata-kata temannya itu, mungkin dia boleh bersabar sedikit, al-maklumlah semua orang pun tengah sibuk untuk berbuka pada waktu itu.
Entahlah Murai Batu tidak mahu masuk campur. Yang pasti perkara sebegini usahlah diperbesarkan, ia boleh diselesaikan dengan cara yang elok. Marilah kita bermuhasabah diri dan cuba menjaga tingkah laku dan percakapan kita di bulan yang mulia ini. Amin.





.jpg)




