Teks oleh Kheme Rosly
khemerosly@yahoo.com
KUALA LUMPUR, 28 JULAI 2012: Kejayaan penubuhan gagasan Barisan Artis Nasional (BRAN) yang diterajui Datuk AC Mizal telah mula menampakkan hasil apabila ianya cukup mendapat sambutan yang hangat daripada pelbagai kelompok artis.
Sepanjang ramadan ini, artis-artis BRAN sibuk mengendalikan bazar ramadan mereka yang bertempat di kawasan Stadium Hoki Bukit Jalil dan ramai artis mengambil peluang ini untuk bersama-sama memeriahkan sambutan bulan yang mulia ini.
Pada 30 Julai yang akan datang ini, BRAN akan mengadakan majlis berbuka puasa di sebuah premis baru iaitu Zebra Square yang bakal dihadiri ramai artis-artis yang berada di bawah gagasan tersebut.
Antara yang bakal menghadiri majlis berbuka puasa tersebut adalah penerajunya Dato' AC Mizal dan isteri Datin Emylia Rosnaida, Lufya AF, Iz Sulaini, Ayu OIAM, Salamiah Hassan, Rozita Rohaizad, Fahd Ezuan, Amir Arif, Adrin Azhar, Riana Anis, Mac Ruhayu, Elveena Iris, Maya dan ramai lagi.
Zebra Square yang terletak di Jalan Kampung Pandan tersebut sering dijadikan lokasi bagi acara-acara besar terutamanya minggu fesyen dan kini menganjurkan majlis berbuka puasa bersama BRAN.
Lebih daripada 70 jenis juadah berbuka akan disediakan oleh pihak Zebra Square pada hari tersebut. Pihak Zebra Square juga akan menyediakan bilik sebagai kemudahan untuk para hadirin menunaikan solat.
Acara ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu bersama-sama berbuka puasa dengan artis naungan BRAN dan jika anda berminat, boleh berbuat demikian dengan membuat tempahan di nombor 03-9281 2619. Majlis akan bermula pada sekitar jam 6 petang pada 30 Julai ini iaitu Isnin depan.










