Shima: Saya Kini Bukan Lagi Single...

berita | Tempatan

Shima: Saya Kini Bukan Lagi Single...

addthis kongsi icon

Teks: Kheme Rosly

khemerosly@yahoo.com

Foto: Mazlan Yunos Photography

KUALA LUMPUR, 30 JULAI 2012: Sudah lama tidak mendengar cerita mengenai penyanyi popular pada sekitar 90'an iaitu Shima. Namun, dia enggan ditemubual dan mengelak beberapa kali untuk dirakamkan gambarnya sewaktu ditemui pada majlis berbuka puasa dan penyerahan cek royalti ahli PRISM di Restoran Seri Melayu tidak lama dulu.

Setelah dipujuk wartawan akhirnya penyanyi yang pernah hits dengan lagu Teringin ini mahu bercerita mengenai perkembangan terkininya yang agak sepi dan jarang sekali tampil di majlis-majlis besar yang sering diadakan.

"Kini saya menyanyi di lounge di hotel Grand Millenium dan bulan puasa sehingga hujung Ogos saya akan berehat. Awal September saya akan kembali menyanyi di sana.

"Saya bukan mendiamkan diri atau tidak mahu pergi majlis-majlis anugerah tetapi kalau tiada sebarang jemputan yang dihantar, takkan saya nak pergi juga. Jadi saya hanya meneruskan kerja saya yang memberikan saya rezeki iaitu menyanyi di lounge bermula Isnin hinggalah Sabtu pada setiap minggu.

"Ini adalah aktiviti seni saya semenjak habis kontrak bersama syarikat rakaman sejak tahun 2000 lagi,"ujar penyanyi yang berusia 43 tahun ini.

Apabila diajukan soalan mengenai kisah peribadi, Shima tidak mahu memberi sebarang komen mengenainya. Namun begitu, dia menjelaskan dia bahawa dia bukan lagi single.

"Perkara ini saya rasa biar saya sahaja yang tahu status diri saya. Tetapi apa yang saya boleh jelaskan di sini saya tidak single. Tak kisah orang nak cakap apa tapi saya lebih suka untuk tidak bercerita mengenai kisah peribadi saya,"ujar pemilik nama Ku Nazatulshima Kamarazzaman ini ringkas.

Shima yang pernah hadir dengan 9 album penuh masih menunggu lagu-lagu yang bagus untuk dirakamkan. Buat masa ini, dia masih lagi menunggu lagu yang sesuai dengan genre yang dibawakan dan dalam masa yang sama dapat diterima masyarakat kini.

"Zaman dah berubah begitu juga haluan muzik. Saya tidak boleh terus mahu menyanyikan lagu yang sama pada zaman 90'an kerana peminat kita sudah berubah selera.

"Saya ada melihat artis senior berduet dengan pendatang baru dan ia merupakan idea yang bagus. Namun, saya masih lagi menunggu jika ada penyanyi baru yang mahu mengadakan kolaborasi dengan saya,"ujar anak kelahiran Banting ini menyuarakan hasrat hatinya.

Menurut Shima lagi, dia bukan merajuk dengan dunia seni tetapi lebih memilih untuk berada di luar arena kerana dia lebih selesa begitu. Dia yang juga kerap diundang berlakon masih lagi menerima tawaran namun ada yang terpaksa di tolak kerana sebab-sebab tertentu.

Komen-Komen | 0
Hantar Komen Anda