Teks oleh Haswari Ali
Email: ayie@astro.com.my
Twitter: @Stailista
KUALA LUMPUR, 12 JULAI 2012: Menjadi idaman setiap wanita, memiliki tas tangan dan tumit tinggi yang cantik lagi menawan merupakan kemestian untuk menghiasi almari fesyen masing-masing, apatah lagi untuk bergaya di majlis hebat.
Dua selebriti popular, Ziana Zain dan Nur Fazura merupakan salah satu contoh terdekat yang sangat obses dengan tas tangan dan tumit tinggi dari rekaan anggun dan unik.
Jadi tidak hairanlah, kerana minat terhadap dua aksesori pelengkap gaya ini menjadikan beberapa jenama fesyen mewah sebagai rujukan mereka untuk sentiasa kelihatan lengkap apabila keluar ke acara hiburan dan fesyen atau mungkin menghadiri sesi fotografi.
Ziana Zain ketika ditemui portal murai.com.my berkata, dia memang merupakan peminat tegar tas tangan mewah terutama sekali dari jenama Chanel yang sering dijinjingnya kala menghadiri undangan ke majlis glamor.
Katanya, setakat ini dia sudah memiliki 15 tas tangan Chanel dari pelbagai rekaan, bentuk dan juga warna sebagai melengkapkan lagi penampilannya setiap kali bergaya.
Ketika menghadiri pertunjukan fesyen hari raya daripada empat pereka fesyen tempatan di ibu negara baru-baru ini, penyanyi Puncak Kasih itu telah menggayakan tas tangan Chanel 2.55 dari rona peace untuk disesuaikan dengan gaun glamor rekaan Zery Zamry.
Malah ketika menghadiri sesi fotografi bersama beberapa media arus perdana baru-baru ini, Ziana Zain turut menjinjing tas tangan Chanel 2.55 berwarna hijau lembut yang dibelinya hasil daripada titik peluhnya sepanjang bergelar penyanyi.
Berbeza dengan Ziana Zain, pelakon cantik, Nur Fazura miliki obsesi tersendiri dengan tumit tinggi buatan Perancis dari jenama Christian Louboutin.
Rona merah ikonik di bawah tumit yang menjadi trademark jenama berkenaan telah menjadi dambaan Nur Fazura dan memberi keyakinan buatnya tiap kali melangkah maju di setiap permaidani merah yang dihadirinya.
Daripada himpunan Daffodil yang ringkas tetapi anggun sehingga kepada rekaan berduri Pigalle Spikes dan Mexibeads bercitarasa etnik, Nur Fazura miliki setiap unit tumit tinggi yang menjadi dambaan kebanyakan selebriti terhandal antarabangsa.
Bagi Nur Fazura, penampilannya tidak akan lengkap tidak menggayakan tumit tinggi hebat. Tidak kiralah dari jenama Christian Louboutin atau mana-mana tumit tinggi cantik yang pernah dibelinya.







.jpg)
.jpg)
.jpg)
